Trump umum kadar tarif Malaysia pada 1 Ogos, sahkan hadir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kata Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trump umum kadar tarif Malaysia pada 1 Ogos, sahkan hadir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, kata Anwar

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 31 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersetuju mengumumkan kadar tarif Malaysia pada hari Jumaat ini (1 Ogos), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Menurut Anwar, perkara itu dimaklumkan oleh Trump dalam satu panggilan telefon yang berlangsung awal pagi Khamis (31 Julai).

 

“Selepas kami berbincang, beliau membuat keputusan untuk menangguhkan pengumuman tarif tersebut kepada esok (1 Ogos).

 

"Insya-Allah, langkah ini akan membantu kita dan tidak membebankan ekonomi negara,” katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen hari ini.

 

 

ASEAN

 

 

Anwar turut memaklumkan bahawa Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

 

“Saya kata baiklah, Tuan Presiden. Saya akan umumkan perkara ini di Parlimen,” ujar beliau.

 

Tambah Perdana Menteri, rundingan tarif bersama Presiden Trump dibuat berdasarkan prinsip perdagangan bebas.

 

Dalam pada itu, Anwar turut berkata Trump mengucapkan tahniah kepadanya atas peranan Malaysia sebagai orang tengah dalam menyelesaikan krisis antara Thailand dan Kemboja.

 

“Ini adalah hasil daripada konsensus ASEAN serta sikap positif kedua-dua negara, di samping kerjasama erat dari Amerika Syarikat dan China, khususnya Presiden Trump dan Presiden Xi Jinping,” katanya. - DagangNews.com