Trump kenakan tambahan tarif 10% terhadap negara menyokong BRICS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trump kenakan tambahan tarif 10% terhadap negara menyokong BRICS

WASHINGTON 7 Julai (AFP) – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Ahad berikrar untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 10% ke atas negara-negara yang menyokong BRICS, kumpulan ekonomi yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China serta beberapa negara lain.

 

Menerusi kenyataan di platform Truth Social miliknya, Trump menegaskan tindakan tersebut sebagai tindak balas terhadap dasar BRICS yang didakwanya 'anti-Amerika'.

 

“Mana-mana negara yang menyokong dasar Anti-Amerika oleh BRICS akan dikenakan Tambahan Tarif 10%. Tiada sebarang pengecualian terhadap dasar ini,” katanya.

 

Tindakan itu dijangka menambah ketegangan dalam hubungan perdagangan global, khususnya antara AS dan negara-negara membangun yang kini semakin cenderung kepada kerjasama ekonomi BRICS.

 

Bagaimanapun, Trump tidak menghuraikan lanjut mengenai maksud “dasar Anti-Amerika” yang dinyatakan dalam kenyataannya itu.

 

BRICS pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China yang mengadakan sidang kemuncak pertama pada 2009, sebelum Afrika Selatan menyertai kumpulan tersebut. Tahun lalu, BRICS turut menerima keanggotaan baharu iaitu Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

 

Malaysia yang kini berstatus `negara rakan' BRICS diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan kemuncak tersebut.

 

Trump turut memaklumkan bahawa Amerika Syarikat akan mula menghantar surat rasmi berhubung tarif dan perjanjian perdagangan kepada beberapa negara bermula Isnin, iaitu sebelum tempoh kuat kuasa tarif yang tertangguh sebelum ini.

 

“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa SURAT TARIFF AMERIKA SYARIKAT, dan/atau Perjanjian dengan pelbagai negara di seluruh dunia, akan dihantar bermula jam 12.00 tengah hari (waktu Timur), Isnin, 7 Julai,” katanya di Truth Social. - DagangNews.com