Tropicana rancang kumpul RM300 juta menerusi terbitan sukuk bagi membiayai projek, pengembangan kumpulan tahun depan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tropicana rancang kumpul RM300 juta menerusi terbitan sukuk bagi membiayai projek, pengembangan kumpulan tahun depan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Nov — Tropicana Corp Bhd telah menerbitkan terbitan sukuk bernilai RM300 juta di bawah program Nota Jangka Sederhana Islam 2024 (IMTN) bagi membiayai projek pembangunan perbandaran serta menyokong rancangan pengembangan kumpulan itu tahun depan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Tropicana berkata saiz terbitan itu dinaikkan daripada RM200 juta sebelum ini berikutan permintaan kukuh dan lebihan langganan, terutamanya daripada pelabur berkaitan kerajaan.

 

Kumpulan itu berkata penerbitan sukuk tersebut menyokong strategi untuk mengukuhkan pengurusan kewangan dan memacu pertumbuhan masa depan.

 

Pada Oktober 2025, Tropicana telah menyelesaikan bayaran Tranche 4 bernilai RM139 juta di bawah program IMTN RM1.5 bilion, menjadikan jumlah pembayaran setakat ini mencecah RM1.12 bilion.

 

Menurut kumpulan itu, pencapaian tersebut mencerminkan pengurusan kewangan berhemat dan komitmen berterusan kepada para pemegang instrumen.

 

Tropicana berkata kedudukan lembaran imbangan kumpulan kekal kukuh, dengan nisbah hutang kasar menurun daripada 0.43 kali pada akhir 2024 kepada 0.42 kali setakat 30 Jun 2025. Jualan belum dibil pula kekal stabil pada RM2.1 bilion.

 

Kumpulan itu terus menjana pendapatan stabil, disokong oleh projek sedia ada dan pelancaran baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM6.5 bilion di seluruh negara.

 

MARC Ratings baru-baru ini menaikkan prospek penarafan Tropicana kepada positif daripada stabil, susulan penambahbaikan lembaran imbangan serta usaha berterusan kumpulan itu mengurangkan hutang melalui pelupusan aset.

 

Tropicana menyasarkan untuk mengurangkan pinjaman kepada RM1.2 bilion menjelang akhir 2025, tetapi hutang keseluruhan kumpulan masih berada pada RM2.26 bilion setakat 30 Jun 2025.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan susut 92.6% tahun ke tahun kepada RM2.56 juta dalam separuh pertama tahun kewangan 2025 berikutan pendapatan berulang yang lebih rendah selepas pelupusan aset.

 

Tropicana kini memiliki bank tanah seluas 1,336.1 ekar, dengan potensi GDV keseluruhan mencecah RM168.4 bilion.

 

Pada penutupan dagangan Jumaat, saham Tropicana meningkat satu sen kepada RM1.11, sekali gus memberi nilai pasaran sekitar RM2.79 bilion- DagangNews.com