KUALA LUMPUR 19 Nov – Transaksi pembayaran rentas sempadan ASEAN menggunakan kod Respons Pantas (QR) meningkat kepada 12.9 juta transaksi dalam separuh pertama 2025, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, perkembangan itu membuka ruang kepada peluasan selanjutnya dengan lebih banyak hubungan pembayaran rentas negara sedang diteroka dan dilaksanakan bagi memperkukuh keterhubungan serantau.
“Berdasarkan inisiatif seperti Project Nexus yang turut diterajui Malaysia, rakan-rakan serantau kini meneroka potensi lebih jauh dalam pembayaran digital.
“Dengan menghubungkan sistem pembayaran segera (instant payment systems) merentasi sempadan, Project Nexus membolehkan transaksi runcit dilakukan hampir sekelip mata,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Tahunan Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN ke-48 hari ini.
Abdul Rasheed berkata, selain mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan transaksi, Project Nexus juga berupaya memperluaskan keterangkuman kewangan.
“Ia membolehkan pekerja, usahawan mikro dan komuniti kurang mendapat perkhidmatan kewangan untuk turut serta secara bermakna dalam ekonomi yang semakin bersepadu tanpa memerlukan urusan perbankan yang rumit — semuanya didorong oleh kewangan digital.
“Di luar pembayaran digital, sektor kewangan turut mempergiat usaha mempromosikan penyelesaian dalam mata wang tempatan serta memperkukuh hubungan perbankan dan pasaran modal bagi membantu perniagaan serantau mencapai potensi sebenar mereka,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat dasar, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) merupakan langkah berani ke hadapan.
“Dengan menyelaraskan peraturan tadbir urus data, e-pembayaran, identiti digital dan keselamatan siber, DEFA sedang membina asas kepada ekonomi digital tanpa sempadan, sebuah ekosistem yang selamat, boleh dibangunkan secara meluas dan inklusif sejak peringkat awal.
“Usaha-usaha ini membuka peluang kepada berjuta-juta orang untuk mengakses dan menikmati manfaat ekonomi digital,” katanya. - BERNAMA








