KUALA LUMPUR 24 Nov – Kementerian Kewangan menetapkan tiga kategori baharu iaitu perniagaan yang menjalankan transaksi melebihi RM10,000, penyedia perkhidmatan elektrik dan telekomunikasi, diwajibkan mengeluarkan e-invois individu dan bukan invois disatukan bermula 1 Januari 2026.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kategori pertama melibatkan jualan barangan dan perkhidmatan, di mana setiap transaksi melebihi RM10,000 mesti mempunyai e-invois tersendiri.
Kategori kedua pula katanya, merangkumi penyedia elektrik utama yang membekalkan tenaga kepada pengguna akhir.
"Kategori ketiga melibatkan perkhidmatan telekomunikasi, termasuk pelan pascabayar, pakej internet dan pakej yang merangkumi peranti elektronik.
“Data terperinci pada peringkat transaksi diperlukan bagi menyokong analitik tingkah laku, pengesanan serta pemantauan pematuhan di bawah kerangka e-invois nasional,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) sama ada pelaksanaan e-invois ini sesuatu yang memudahkan atau menyulitkan golongan peniaga.
Lim menjelaskan bahawa ketika ini terdapat tujuh industri yang wajib mengeluarkan e-invois bagi setiap transaksi tanpa pilihan untuk menyatukan, iaitu: sektor automotif, industri penerbangan (termasuk tiket penerbangan dan perkhidmatan sewaan peribadi) dan barangan mewah dan barang kemas.
Kategori lain ialah, sektor pembinaan, pemborong dan peruncit bahan binaan, operator pertaruhan dan permainan yang berlesen dan bayaran kepada ejen, pengedar dan peruncit
"Perniagaan lain masih boleh menyatukan beberapa transaksi jualan menggunakan butiran resit, tetapi perlu menghantar maklumat tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh hari bulan berikutnya. - DagangNews.com








