Tourism Malaysia anjur Pantai Timur Fest 2025 di Kuala Lumpur pada 2-5 Oktober ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tourism Malaysia anjur Pantai Timur Fest 2025 di Kuala Lumpur pada 2-5 Oktober ini

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept –  Penganjuran Pantai Timur Fest 2025 akan mengetengahkan keunikan budaya, warisan, gastronomi dan aktiviti komuniti negeri-negeri Pantai Timur sebagai pra-promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata, ia bertujuan mengangkat Pantai Timur sebagai destinasi pelancongan unggul selain memperluas capaian pasaran domestik dan antarabangsa.

 

“Festival tersebut akan menampilkan citarasa asli Pantai Timur, persembahan kebudayaan, hasil kraf tangan, acara komuniti dan segmen gaya hidup popular. 

 

“Antara acara yang akan diketengahkan termasuk RXZ Member, Havoc Food Festival, Festival Kopi Kemaman, Makar Fest Kelantan, Pasar Hipster – Local Ganu Market dan program kreatif lain anjuran Yaya Empire,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis pra-pelancaran festival itu akan berlangsung di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur pada 2 hingga 5 Oktober ini dengan kerjasama strategik Tourism Pahang, Tourism Terengganu, Tourism Information Centre (TIC) Kelantan serta beberapa rakan industri lain.

 

Festival itu turut menggalakkan percutian keluarga dengan memandu sendiri sambil menikmati pemandangan indah sepanjang jalan dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

 

Beliau berkata, golongan belia dan pelancong muda turut digalakkan menjadikan Pantai Timur sebagai destinasi pilihan kerana selain menawarkan gastronomi dan budaya, tiga negeri itu juga meriah dengan pelbagai acara komuniti yang menarik.

 

“Bagi sektor korporat pula, Tourism Malaysia sangat menggalakkan mereka untuk mengadakan mesyuarat luar pejabat di Pantai Timur yang menawarkan suasana lebih tenang dan bebas kesesakan lalu lintas,” katanya.

 

Pantai Timur Fest 2025 juga akan menjadi platform strategik berimpak tinggi kerana berlangsung seiring dengan beberapa acara antarabangsa di Kuala Lumpur pada Oktober ini, termasuk Malaysia Pharma & Healthcare Expo (7-9 Okt), Malaysia International Water Convention (14-16 Okt) serta Global Meet 2025 (1-3 Okt) yang dijangka menghimpunkan ribuan peserta global.

 

“Penganjuran acara sebegini memberi limpahan manfaat kepada semua segmen pelancongan termasuk ekopelancongan, pelancongan budaya dan gastronomi, selain menonjolkan kesiapsiagaan Malaysia menjadi hab pelancongan dinamik menjelang TMM2026,” katanya. - DagangNews.com