KUALA LUMPUR 17 Jun – Gergasi tenaga Perancis, TotalEnergies SE terus mengukuhkan kehadirannya di rantau Asia Tenggara menerusi pengambilalihan kepentingan dalam beberapa blok medan minyak luar pesisir di Malaysia daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), dalam langkah yang memperluaskan portfolio huluannya di negara ini.
Dalam kenyataan rasmi, PETRONAS menyatakan kedua-dua pihak telah memeterai perjanjian kerjasama strategik serta dua perjanjian ‘farm-out’ bagi memperluas kerjasama dalam sektor huluan.
Pelaburan strategik ini dimuktamadkan walaupun wujud kebimbangan dalam kalangan pelabur asing berikutan ketidaktentuan yang timbul daripada rundingan berterusan antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengenai hak pembangunan sumber hidrokarbon Sarawak.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, TotalEnergies menjelaskan syarikat itu memperoleh 50% kepentingan beroperasi dalam dua blok di luar pesisir Sarawak – SK301b dan SK313 – yang mengandungi penemuan gas mencecah lebih empat trilion kaki padu.
Baki 50% kepentingan dalam kedua-dua blok berkenaan akan terus dipegang oleh anak syarikat milik penuh PETRONAS iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd.
Selain itu, TotalEnergies dan PETRONAS juga bakal berkongsi kepentingan dalam beberapa blok eksplorasi di luar pesisir Malaysia serta satu blok di luar pesisir Indonesia. Transaksi ini masih tertakluk kepada syarat-syarat kelaziman termasuk kelulusan pihak berkuasa, menurut TotalEnergies.
“Lesen-lesen ini merangkumi lebih 100,000 kilometer persegi dan berada pada pelbagai peringkat kematangan,” tambah kenyataan itu.
Blok SK301b dan SK313 dijangka dibangunkan untuk membekalkan gas bagi keperluan LNG Malaysia menjelang tahun 2030.
Langkah ini menyusuli pengambilalihan baki 50% pegangan dalam SapuraOMV oleh TotalEnergies pada Disember 2024, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu di Asia Tenggara dengan Malaysia sebagai titik tumpuan utama, dalam kerjasama strategik bersama PETRONAS.
Untuk rekod, SapuraOMV memiliki 40% kepentingan dalam SK408 dan 30% dalam SK310 – kedua-duanya merupakan blok gas aktif di luar pesisir Sarawak.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanné berkata, syarikatnya kini telah mengukuhkan peranannya sebagai peneraju pengeluar gas di Malaysia.
“Kami berbesar hati untuk memperluaskan lagi kehadiran kami di Malaysia, yang kami anggap sebagai platform strategik bagi pertumbuhan pengeluaran berkos rendah dan berkarbon rendah serta aliran tunai pada masa depan, selaras dengan permintaan LNG di pasaran Asia,” katanya.
Mengulas mengenai blok di luar pesisir Indonesia, TotalEnergies memaklumkan bahawa syarikat itu telah memeterai perjanjian untuk memperoleh 24.5% kepentingan daripada PETRONAS dalam blok Bobara, bagi menjalankan kerja-kerja eksplorasi yang menyasarkan penemuan minyak.
“Setelah selesai, TotalEnergies akan memegang 24.5% kepentingan dalam kontrak perkongsian pengeluaran tersebut, manakala PETRONAS akan mengekalkan selebihnya serta status sebagai operator,” tambah syarikat itu. - DagangNews.com








