KUALA LUMPUR 27 Nov - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dilaporkan menanggung kerugian mencecah RM5.14 bilion setakat ini akibat kegiatan kecurian elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi tempoh 2020 hingga 2025 menerusi 91 operasi pembongkaran, sebanyak 14,489 premis telah diperiksa dan 77 kertas siasatan dibuka.
Beliau berkata, dalam tempoh sama sebanyak 85 kes melibatkan premis yang menjadi mangsa kecurian elektrik direkodkan dan berdasarkan siasatan, semua premis tersebut disahkan sebagai mangsa dan tidak didakwa atau dikenakan sebarang bayaran.
Menurutnya, langkah pencegahan perlu diperkukuh termasuk meningkatkan kesedaran pemilik premis kediaman dan perniagaan agar tidak menggunakan nama sendiri bagi tujuan permohonan elektrik apabila premis disewakan.
“Pastikan penyewa yang membuat permohonan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penggunaan elektrik tidak bertanggungjawab,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai kerugian TNB akibat kecurian elektrik, khususnya melibatkan sindiket perlombongan mata wang kripto, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi mengatasi masalah kecurian elektrik dan mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa pemalsuan identiti, Fadillah berkata TNB telah memperkenalkan kaedah pengesahan identiti menggunakan cap jari dan MyKad, dengan data disemak terus melalui peranti biometrik TNB.
Beliau berkata, kaedah baharu itu selamat, mematuhi piawaian industri dan telah digunakan secara meluas dalam sektor kerajaan, perbankan dan telekomunikasi.
“Melalui kaedah pengesahan identiti digital (eKYC), pengguna perlu mengimbas dokumen pengenalan (MyKad/pasport) dan memadankannya dengan visual diri (swafoto) bagi tujuan pengesahan wajah.
Penggunaan eKYC akan diperluas secara berperingkat mulai tahun ini bagi semua permohonan individu melalui portal myTNB.
Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya.
Fadillah berkata hasil penggunaan sistem tersebut menunjukkan pengurangan ketara kes pemalsuan identiti, dengan hanya tiga kes direkodkan tahun lalu.
“Jika dilihat rekod pemalsuan dokumen identiti, pada 2021 terdapat 92 aduan diterima, 49 kes pada 2022, dan mula menurun pada 2023 kepada 26 kes selepas sistem biometrik diperkenalkan. Pada 2024 hanya tiga kes direkodkan dan itu pun melibatkan permohonan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata kerajaan merancang memperluas penggunaan sistem sama bagi urusan secara dalam talian dan ketika ini sistem tersebut dilaksanakan secara rintis di Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke seluruh negara. - BERNAMA








