KUALA LUMPUR 12 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), melalui anak syarikat masing-masing, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn. Bhd. (PFMI), telah memeteraikan kerjasama strategik bagi membangun dan mengendalikan Sistem Penyejukan Berpusat di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran kejuruteraan dan keupayaan infrastruktur tenaga TNB melalui TNEC, dengan pemilikan aset serta portfolio pembangunan bandar PKNS, sekali gus meletakkan projek ini sebagai pemangkin utama dalam pembangunan bandar yang mampan dan cekap tenaga di Selangor.
Melalui projek ini, cecair penyejuk yang dijana daripada loji penyejukan berpusat akan dibekalkan kepada bangunan yang dimiliki atau diuruskan oleh PKNS dan syarikat bersekutunya, serta kepada penyewa dan pemajak dalam kawasan pembangunan yang ditetapkan. Antara kawasan utama yang terlibat ialah:
• Plaza Perangsang,
• Plaza Alam Sentral,
• SA Sentral,
• SACC Mall,
• Ibu Pejabat PKNS, dan
• Kompleks PKNS Shah Alam.

Projek ini turut direka bagi menyokong pembangunan masa hadapan dalam kawasan berkenaan, termasuk SA Sentral, sebuah projek mercu tanda transformatif yang dirangka untuk meletakkan Shah Alam sebagai hab perniagaan terkemuka di Selangor.
Dokumen kerjasama strategik tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan TNEC, Ahmad Nizam Hassan, dan Ketua Pegawai Eksekutif PFMI, Shamshul Bahari Ahmad, di mana ianya menjadi tanda pencapaian penting dalam pelaksanaan projek Sistem Penyejukan Berpusat ini.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Infrastruktur dan Pertanian, Dato’ Ir. Izham Hashim; Pengerusi TNEC, Ir. Mahathir Nor Ismail; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Dato’ Mahmud Abbas.
Membangun Bandar Mampan Dalam Mendepani Masa Hadapan
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga inovatif yang menyokong pertumbuhan bandar mampan.
“Melalui kerjasama strategik ini, kami berupaya untuk meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan jejak karbon, dan menyumbang kepada pembentukan bandar pintar yang bersedia mendepani masa hadapan.
"Dengan menggabungkan kepakaran kejuruteraan TNB dan portfolio pembangunan bandar PKNS yang kukuh, kami berhasrat untuk menetapkan penanda aras baharu bagi infrastruktur bersepadu yang menjana nilai jangka panjang kepada komuniti, perniagaan dan alam sekitar,” tambah Megat Jalaluddin.
Sementara itu, Dato’ Mahmud Abbas turut menyokong sinergi antara TNB dan PKNS dalam pembangunan bandar yang mampan, dengan menyatakan bahawa inisiatif Sistem Penyejukan Berpusat ini sejajar dengan penekanan Kerajaan Negeri Selangor terhadap penyediaan penyelesaian infrastruktur yang mampan, cekap dan bersedia untuk masa hadapan bagi kawasan bandar berkepadatan tinggi.
Selain itu ia juga akan memperkukuh strategi jangka panjang PKNS dalam meningkatkan nilai aset melalui penggunaan teknologi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Melalui TNEC, TNB menyumbangkan kepakaran kejuruteraan yang luas serta pengalaman dalam penyelesaian tenaga berskala besar bagi menyokong pembangunan infrastruktur penyejukan yang berdaya harap, cekap dan berdaya tahan.
Kerjasama ini menegaskan komitmen berterusan TNB dalam memajukan pembangunan bandar yang mampan serta menyokong peralihan Selangor ke arah pembangunan bandar hijau dan rendah karbon. - DagangNews.com








