TNB masih boleh bayar dividen walaupun cukai tambahan LHDN berpotensi meningkat RM10 bilion - UOBKH Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB masih boleh bayar dividen walaupun cukai tambahan LHDN berpotensi meningkat RM10 bilion - UOBKH Research

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 29 Julai - UOB Kay Hian (UOBKH) Research menjangkakan pembayaran dividen TNB akan kekal stabil memandangkan kadar pembayaran dividen adalah antara 30% hingga 60% daripada keuntungan bersih asas, walaupun berdepan isu cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan “beli” terhadap saham TNB, dengan harga sasaran RM16.30 sesaham.

 

UOBKH percaya harga saham telah sebahagiannya mengambil kira impak negatif berkaitan isu cukai, memandangkan saham TNB telah susut 9% sejak berita tersebut dilaporkan.

 

 

 

 

 

 

Mengulas mengenai notis cukai tambahan RM840 juta daripada LHDN, UOBKH Research menjangkakan keputusan antara TNB dan LHDN akan dicapai menjelang akhir Ogos 2025.

 

Sementara itu, CIMB Securities Research berkata, jumlah cukai keseluruhan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berpotensi meningkat kepada kira-kira RM8 bilion sekiranya LHDN mengeluarkan lagi notis taksiran tambahan (NAA) bagi tahun kewangan 2023-2024. 

 

Syarikat utiliti itu baru-baru ini menerima notis taksiran tambahan daripada LHDN bagi tahun 2022 berjumlah RM840.1 juta.

 

Jumlah ini adalah tambahan kepada jumlah kumulatif NAA bagi tahun 2013 hingga 2021 sebanyak RM5.05 bilion (selepas pelepasan penalti dan RM1.76 bilion yang telah dibayar kepada LHDN pada Disember 2020 bagi tahun 2016 hingga 2017), menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak RM5.89 bilion.

 

Dalam satu nota kepada pelanggan, CIMB Research berkata, “kami percaya terdapat risiko bahawa LHDN mungkin turut mengeluarkan NAA bagi tahun 2023-2024.”

 

Jika perbelanjaan modal TNB bagi tahun kewangan 2023 (FY23) hingga FY24 dijadikan penanda aras, firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah tambahan taksiran cukai bagi tempoh tersebut boleh mencecah sekitar RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan bagi tahun 2013 hingga 2024 hampir RM8 bilion.

 

Sementara itu, TNB dalam kenyataannya memaklumkan sedang menilai opsyen undang-undang yang ada bagi menangani NAA terkini, mengambil kira TNB telah pun mengemukakan permohonan bagi Elaun Pelaburan atau Investment Allowance (IA) di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 (termasuk bagi tahun 2022) kepada Menteri Kewangan.  - DagangNews.com