TNB kena lagi cukai tambahan LHDN sebanyak RM840 juta bagi Tahun Taksiran 2022, timbang opsyen perundangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB kena lagi cukai tambahan LHDN sebanyak RM840 juta bagi Tahun Taksiran 2022, timbang opsyen perundangan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menerima tamparan apabila dikenakan notis taksiran tambahan cukai sebanyak RM840.13 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi Tahun Taksiran (Year of Assessment) 2022.

 

Ini susulan kekalahan TNB dalam pertikaian cukai berjumlah RM1.25 bilion di Mahkamah Persekutuan awal bulan ini, berhubung tuntutan pelepasan cukai yang sepatutnya hanya layak untuk pengilang dan bukannya syarikat utiliti seperti TNB.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, TNB berkata, syarikat utiliti negara ini menerima notis taksiran tambahan berkenaan daripada LHDN pada 24 Julai.

 

 

 

 

"TNB sedang menilai opsyen undang-undang yang tersedia bagi menangani isu ini, dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas notis yang serupa untuk YA 2018," kata syarikat itu.

 

Penilaian itu turut mengambil kira permohonan yang telah dikemukakan kepada Menteri Kewangan untuk mendapatkan Elaun Pelaburan di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967, termasuk bagi YA 2022.

 

TNB pertama kali menerima notis taksiran tambahan cukai sebanyak RM1.81 bilion pada Julai 2020, namun ia dikurangkan kepada RM1.25 bilion menerusi perintah persetujuan pada Disember 2020 yang mengecualikan penalti.

 

TNB dan LHDN telah terbabit dalam pertikaian sejak 2015 melibatkan beberapa tahun taksiran, dengan jumlah cukai yang masih dipertikai kini mencecah RM5.05 bilion, menurut laporan tahunan TNB.

 

Susulan perkembangan terbaharu itu, saham TNB menjadi kaunter kedua paling rugi dari segi nilai di Bursa Malaysia pada Jumaat, ditutup 34 sen atau 2.44% lebih rendah kepada RM13.60, dengan modal pasaran sebanyak RM79.28 bilion. Setakat tahun ini, saham TNB telah susut sekitar 9%. - DagangNews.com