KUALA LUMPUR 13 Feb - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dalam proses meneliti membeli helikopter maritim baharu menggantikan Super Lynx yang berusia lebih 20 tahun.
Pada masa ini, TLDM hanya memiliki tiga buah helikopter Super Lynx yang beroperasi setelah beberapa buah terbabit dalam nahas.
Jumlah tersebut dianggap tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan operasi udara maritim yang semakin mendesak.
Berdasarkan sumber industri, 3 jenis helikopter yang menjadi pilihan adalah NH90 dari NHIndustries, MH-60R Seahawk buatan Sikorsky dan Lynx Wildcat (Leonardo).
Dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), TLDM dijangka memperolehi pesawat baharu menggantikan helikopter lama yang semakin berkurangan.


Dengan situasi ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka memperuntukkan dana yang besar bagi memodenkan aset TLDM.
Ia sekali gus memastikan kesiapsiagaan operasi udara maritim negara dapat dipertingkatkan.


Ketiga-tiga helikopter ini dikatakan memenuhi keperluan TLDM dalam aspek operasi maritim, terutamanya untuk misi anti-kapal selam (ASW) dan menyelamat (SAR).
Secara umumnya, helikopter pengganti Super Lynx mempunyai keupayaan yang serupa terutama bagi operasi tempur di laut tetapi dengan ciri-ciri lebih moden.
NH90 misalnya dikenali sebagai helikopter maritim pelbagai peranan generasi moden yang paling maju buatan Eropah.
Pesawat ini dilihat sebagai calon berpotensi kerana keupayaannya yang tinggi dalam operasi maritim dan keupayaan dalam pelbagai misi.


MH-60R Seahawk (Sikorsky) pula sebuah helikopter ASW moden yang dilengkapi dengan teknologi terkini dan prestasi tinggi dalam pelbagai operasi.
Helikopter ini juga tidak kurang hebatnya, ditambah menjadi kegunaan negara sekutu Amerika Syarikat seperti Australia, Greece dan Arab Saudi.
Sebagai pengguna Super Lynx, helikopter Lynx Wildcat (Leonardo) mempunyai kesinambungan penggunaan kepada TLDM.
Versi baharu dan moden daripada helikopter Super Lynx sedia ada ini menawarkan peningkatan keupayaan dengan pelbagai ciri canggih untuk operasi maritim.



Pihak Leonardo sejak beberapa tahun lalu pula mempromosikan pesawat ini kepada TLDM menerusi pelbagai usaha termasuk mengadakan penerbangan ke sini.
Dengan pengalaman yang ada, pihak TLDM semestinya lebih arif tentang apakah helikopter pengganti Super Lynx yang dicari.
Perolehan helikopter baharu ini merupakan langkah penting bagi memastikan TLDM terus kekal relevan dalam mempertahankan perairan negara.
Dengan peruntukan yang dijangka besar, perolehan ini dapat memperkukuhkan kemampuan operasi udara maritim TLDM untuk tempoh 20 tahun ke hadapan.- DagangNews.com








