LUMUT 5 Jun - Tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat lebih 3 dekad dilucutkan tauliah dalam istiadat penuh tradisi ketenteraan di Tambatan Pangkalan Lumut, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Tan Pusmah dan KD Pendekar telah menabur bakti dalam pelbagai misi operasi dan eksesais sejak mula memasuki perkhidmatan.
Majlis pelucutan penuh tradisi tentera laut itu disempurnakan oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain.
Turut hadir dalam upacara adalah mantan pegawai memerintah dan kru yang berkhidmat di kapal-kapal tersebut.

Kemuncak acara adalah ketukan loceng dan penurunan gada-gada bagi ketiga-tiga kapal sebagai simbolik penamatan tauliah dan status aktif kapal-kapal tersebut.
Pelucutan tauliah bagi ketiga-tiga kapal ini adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan armada TLDM selaras dengan Program Transformasi TLDM 15 kelima.
Program ini diwujudkan bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang terbaik seiring dengan pemodenan TLDM dalam memenuhi keperluan pertahanan maritim negara.
TLDM kini dalam persediaan menerima aset-aset baharu iaitu kapal tempur pesisir (LCS) dan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 yang sedang disiapkan.


LCS KD Maharaja Lela dan KD Raja Muda Nala akan diserahkan pada tahun hadapan diikuti 3 buah LMS yang dibina syarikat STM Türkiye.
Penerimaan kapal-kapal baharu tersebut bagi memastikan keupayaan pertahanan laut negara terus kukuh dan relevan.


KD Laksamana Tun Abdul Jamil (gambar atas) dan KD Laksamana Tan Pusmah merupakan korvet kelas Laksamana yang dibina di Itali pada 1982 sebelum ditauliahkan pada 1997 dan 1999.
Kedua-duanya diletakkan dalam Skuadron Kapal Korvet Ke-24 bersama dua lagi kapal sama iaitu KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Muhamad Amin.
Walaupun dalam kategori korvet mini namun kapal-kapal ini dilengkapi sistem persenjataan bagi menghadapi peperangan tiga dimensi menjadikan ia digeruni masa itu.
Ia memiliki peluru berpandu antikapal Otomat, sistem pertahanan udara Aspide dan torpedo antikapal selam Alenia ILAS-3.
Bagaimana pun, sistem peluru berpandu Otomat dilucutkan pada kapal-kapal ini beberapa tahun lalu.

Sementara itu, KD Pendekar yang dikenali sebagai kapal kelas Skuadron Kapal Pembinasa Laju Pertama (FAC 1) dilancarkan pada 1978 dan ditauliahkan 1979.
Pada 25 Ogos 2024, KD Pendekar karam ketika melaksanakan rondaan akibat bocor semasa menghampiri pesisir pantai Johor untuk melakukan pemeriksaan teknikal.
Sepanjang lebih empat dekad perkhidmatan, KD Pendekar telah melaksanakan pelbagai operasi termasuk rondaan pengawasan, penguatkuasaan maritim serta eksesais. - DagangNews.com








