KUALA LUMPUR 9 Okt - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui kesilapannya menganjurkan majlis makan malam gala sempena Global Travel Meet yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Tiong turut menyatakan kekesalannya terhadap kontroversi yang timbul susulan hidangan minuman beralkohol pada majlis tersebut, yang menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.
“Saya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) amat kesal atas sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan rasa tidak senang di hati rakyat. Kami benar-benar memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.
“Saya sepatutnya mengumumkan pada malam itu bahawa majlis makan malam gala tersebut adalah satu acara persendirian. Saya mengakui kesilapan kerana tidak menjelaskannya lebih awal bahawa ia bukan program rasmi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung garis panduan kementerian dalam memastikan majlis rasmi, termasuk yang ditaja pihak swasta atau industri, mematuhi Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 — khususnya larangan menghidangkan minuman beralkohol dalam program rasmi kerajaan.
Tiong turut menegaskan, MOTAC memandang serius semua maklum balas awam berhubung isu tersebut, di samping menghargai teguran serta nasihat membina yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberi jaminan kementerian akan memastikan setiap program rasmi selepas ini mematuhi garis panduan kerajaan sepenuhnya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai impak penganjuran Global Travel Meet, Tiong berkata acara berkenaan berjaya menarik penyertaan hampir 600 pemain industri pelancongan antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan, acara selama tiga hari itu mencatatkan jumlah transaksi keseluruhan sebanyak RM420 juta. - BERNAMA








