Tiada langkah fiskal, keutamaan kerajaan kekalkan kestabilan bekalan tenaga dan makanan - Amir Hamzah  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada langkah fiskal, keutamaan kerajaan kekalkan kestabilan bekalan tenaga dan makanan - Amir Hamzah 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Mac – Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan langkah fiskal pada masa ini walaupun ketegangan di Timur Tengah yang semakin meningkat telah menggugat pasaran global serta menjejaskan bekalan minyak dan gas. 

 

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, keutamaan kerajaan kini adalah mengekalkan kestabilan bekalan tenaga dan makanan. 

 

"Sebarang tindakan tambahan hanya akan dipertimbangkan sekiranya situasi di Timur Tengah meruncing lebih lanjut.

 

“Kerajaan sedang memantau perkembangan dengan teliti, dan fokus kami adalah memastikan bekalan tenaga dan makanan negara kekal stabil,” katanya kepada media ditemui pada Hari Libat Urus Malaysia Co-investment Fund (MyCIF) di sini hari ini.

 

Pasaran minyak dunia kini tidak menentu susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran bulan lalu, diikuti penutupan Selat Hormuz oleh Tehran.

 

Penutupan laluan yang membawa kira-kira 20% bekalan minyak global itu menyebabkan harga minyak mentah dunia meningkat melebihi AS$100 (RM393.30) setong.

 

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa bekalan produk petroleum negara kekal selamat sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026. 

 

Beliau turut menegaskan kerajaan akan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

 

Amir Hamzah menambah Malaysia akan terus melaksanakan skim subsidi bersasar seperti Budi Madani, termasuk Budi Individu, Budi Agri-Komoditi dan Budi 95, bagi memastikan pengguna domestik terus mendapat manfaat daripada harga subsidi.

 

Bekalan petrol negara juga masih stabil buat masa ini, walaupun lonjakan penggunaan sempena musim Hari Raya Aidilfitri telah diambil kira dalam perancangan bekalan syarikat tenaga.

 

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan syarikat tenaga lain sedang meningkatkan tahap stok bagi memenuhi permintaan domestik serta memastikan keselamatan bekalan berterusan. - DagangNews.com