Tiada insiden gangguan akaun Maybank berikutan penamatan tugas Khalijah Ismail - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada insiden gangguan akaun Maybank berikutan penamatan tugas Khalijah Ismail - penganalisis

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Pemberhentian mengejut Ketua Pegawai Kewangan Malayan Banking Bhd (Maybank), Khalijah Ismail mencetuskan kebimbangan mengenai piawaian tadbir urus dan kawal selia pemberi pinjaman aset terbesar Malaysia.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities berkata, tiada insiden gangguan akaun dan isu berkaitan penyata kewangan Maybank susulan pemberhantian Khalijah. 

 

Katanya, pemberhentian Khalijah merupakan hasil daripada siasatan dalaman yang dijalankan oleh bank mengikut proses sewajarnya.

 

Firma itu berkata, bank itu memulakan siasatan dalaman itu kerana beliau tidak mematuhi keperluan dan proses yang diperlukan oleh bank.

 

“Menurut kumpulan itu, Khalijah diberi peluang membentangkan kesnya dan setelah siasatan selesai, Maybank memutuskan keputusan untuk menamatkan tugas beliau," kata CIMB Securities. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemberhentian Khalijah: Tiada isu salah laku kewangan, rugi atau kawal selia

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khalijah Ismail mahu saman Maybank atas penamatan jawatannya sebagai CFO Kumpulan

 


Dalam makluman di Bursa, Maybank mengumumkan pengunduran Khalijah Ismail berkuat kuasa serta-merta, susulan siasatan dalaman tetapi tidak mendedahkan butiran siasatan dalaman disebutkan di atas, yang membawa kepada pengunduran Khalijah.

 


Sebagai tindak balas, Khalijah mengeluarkan kenyataan menegaskan bank itu tidak memberi alasan khusus, selain mendakwa kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadapnya.

 


"Saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan bank itu. Tiada alasan khusus diberikan untuk penamatan tugas saya, selain dakwaan bank itu telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap saya. Saya menafikan sebarang salah laku," katanya.

 


Penamatan tugas Khalijah berlaku pada masa yang mencabar bagi Maybank di tengah-tengah pengawasan kawal selia yang lebih tinggi berikutan denda baru-baru ini, kata TA Securities.

 


Pada Januari 2025, Maybank dan unit perbankan Islamnya, bersama-sama bank lain, didenda hampir RM1 juta kerana tidak melengkapkan dan lewat menyerahkan data kritikal. 

 


Ini berikutan penalti pentadbiran RM4.32 juta yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia pada Ogos 2024 untuk gangguan perkhidmatan berpanjangan.

 


"Insiden ini secara kolektif boleh meningkatkan risiko reputasi Maybank. Walaupun bank itu dilaporkan telah melaksanakan langkah pembetulan," tambah TA Securities.

 


Sementara itu, Maybank tidak menjangkakan sebarang penalti kawal selia atau kerugian kewangan daripada perkara itu, selain daripada kemungkinan tuntutan mahkamah yang mungkin dilakukan oleh Khalijah.

 


Kumpulan itu juga menjelaskan siasatan dalaman tidak didorong oleh agensi penguatkuasaan undang-undang, sebarang kejadian luar biasa atau ketidakpatuhan terhadap peraturan luar.

 


Maybank seterusnya berkata, tiada kos tambahan diperlukan untuk mengukuhkan proses dalaman.

 

Menurut penganalisis Affin Hwang Capital, Tan Ei Leen, Bank Negara Malaysia dijangka tidak akan mengambil tindakan kawal selia berikutan pemberhentian Khalijah.

 


"Pengurusan Maybank berkata ini adalah kes terpencil dan Bank Negara telah dimaklumkan sewajarnya. Tiada tindakan kawal selia oleh Bank Negara akan menyusul selepas peristiwa ini," tulis Tan dalam laporan pada Selasa.- DagangNews.com