Tiada caj tol ke atas kapal Malaysia yang disifatkan ‘Negara Kawan’ di Selat Hormuz – Duta Iran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada caj tol ke atas kapal Malaysia yang disifatkan ‘Negara Kawan’ di Selat Hormuz – Duta Iran

BEBERAPA kapal tangki berlabuh di terminal petroleum yang terletak di Teluk Parsi dan berdekatan dengan Selat Hormuz. - Foto AFP

KUALA LUMPUR 31 Mac - Kapal milik Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz dengan selamat tanpa dikenakan "caj tol", menurut Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

 

Beliau mengesahkan Tehran telah dimaklumkan mengenai tujuh kapal milik Malaysia yang berhasrat transit melalui selat tersebut di tengah ketegangan serantau yang meningkat.

 

“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melalui kawasan ini.

 

"Kami telah mempertimbangkan perkara ini, dan insya-Allah mereka akan dapat melaluinya. Tiada masalah kerana Malaysia adalah negara mesra, dan negara mesra boleh menggunakan selat ini,” katanya kepada New Straits Times.

 

Duta Iran
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi

 

Apabila ditanya mengenai caj tol, Valiollah menegaskan kapal Malaysia dibenarkan melalui secara percuma.

 

“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas untuk melalui). Kami tidak akan mengenakan caj,” katanya.

 

Tehran Diramal Wujudkan ‘Pondok Tol’

Beberapa laporan media antarabangsa sejak minggu lalu mendakwa tentera Iran telah menubuhkan “pondok tol” di Selat Hormuz, dengan caj sehingga AS$2 juta (RM7.9 juta) bagi setiap laluan.

 

Bagaimanapun, kaedah pembayaran dan mata wang yang digunakan masih tidak jelas, menurut Bloomberg.

 

Ahli Parlimen PKR, Wong Chen, meminta Putrajaya mendedahkan sama ada Malaysia turut membayar caj tol berkenaan bagi tujuan ketelusan.

 

“Jika kerajaan perlu membayar tol, maka ia mesti didedahkan kepada umum kerana melibatkan wang pembayar cukai. Bagi saya, membayar dan mendapatkan kebenaran belayar adalah lebih baik daripada kapal serta kru Malaysia terkandas, namun kita perlu telus dan bertanggungjawab,” katanya.

 

Hormuz

 

Kapal Malaysia Menunggu Laluan Selamat

Pada Sabtu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tujuh kapal tangki milik Malaysia sedang menunggu kebenaran untuk melalui Selat Hormuz.

 

Armada ini termasuk tiga kapal milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.

 

Beliau menjelaskan kapal-kapal tersebut tidak ditahan, sebaliknya menunggu laluan selamat dan kebenaran rasmi untuk meneruskan perjalanan. Laporan menunjukkan empat daripada kapal tangki itu membawa minyak mentah.

 

Valiollah menegaskan Selat Hormuz masih dibuka untuk perkapalan antarabangsa, dengan sekatan hanya dikenakan terhadap negara yang terlibat atau menyokong serangan ke atas Iran.

 

“Saya ingin tekankan: Selat Hormuz tidak ditutup. Ia hanya dihadkan kepada sesetengah pihak, bukan semua. Jika anda menyerang Iran, anda tidak boleh menggunakan selat ini. Tetapi kami tidak menutupnya,” katanya. - DagangNews.com