TH sahkan kenyataan Menteri, kos penjenamaan RM5.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TH sahkan kenyataan Menteri, kos penjenamaan RM5.9 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pada 18 Ogos lalu berhubung kos penjenamaan semula institusi itu.

 

Menurut TH, fi konsortium perunding yang dilantik bagi pelaksanaan kerja penjenamaan berjumlah RM5.9 juta untuk tempoh tiga tahun.

 

Skop kerja tersebut merangkumi penyelidikan dan kajian pasaran, audit serta pelan penjenamaan, strategi perhubungan awam, selain program latihan bagi membudayakan penjenamaan dalaman organisasi.

 

Setakat ini, TH memaklumkan sejumlah RM1.6 juta telah dibayar kepada pihak perunding mengikut jadual bayaran yang ditetapkan. Pihaknya turut menegaskan bahawa tiada kontrak atau pelantikan lain dibuat bagi inisiatif ini.

 

“TH sentiasa komited memastikan setiap keputusan yang diambil menepati garis panduan serta mengutamakan kepentingan para pendeposit,” menurut kenyataan itu.

 

Isu penjenamaan Tabung Haji mendapat perhatian umum selepas tersiar berita pihak-pihak tertentu mendakwa peruntukan tersebut berjumlah RM20 juta, selain diberikan kepada entiti bukan Islam secara direct nego.

 

Perkara itu mencetuskan perdebatan awam, khususnya di media sosial, apabila ada pihak mempersoalkan keperluan serta ketelusan penggunaan wang pendeposit untuk tujuan penjenamaan semula.

 

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tampil memberi penjelasan di Parlimen pada 18 Ogos 2025, menegaskan kos tersebut bukanlah perbelanjaan melampau, sebaliknya merangkumi keseluruhan pakej penjenamaan yang melibatkan kajian menyeluruh, pelan strategik dan latihan dalaman bagi memperkukuh imej Tabung Haji. - DagangNews.com