KUALA TERENGGANU 5 Nov – Kerajaan negeri sentiasa komited membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal yang sah dan diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Ia bagi mengelak kekeliruan orang ramai terutama umat Islam susulan tular mengenai sebuah pertubuhan yang menggunakan istilah “Muslim Choice” sebagai tanda pengiktirafan kepada premis dan produk tertentu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Datuk Ariffin Deraman berkata, pihaknya memahami terdapat banyak pengusaha termasuk usahawan Muslim yang mungkin belum berupaya memenuhi semua syarat pensijilan halal.
“Dalam konteks ini, saya berpandangan bahawa inisiatif seperti “Muslim Choice” boleh diterima sekadar sebagai usaha komuniti atau NGO untuk meningkatkan kesedaran dan standard kebersihan (mesra Muslim), namun ia tidak boleh dijadikan pengganti kepada sijil halal rasmi.
“Saya menyeru semua pihak pengguna, pengusaha dan badan bukan kerajaan supaya berhati-hati, beretika dan jujur dalam menggunakan apa-apa istilah yang berkaitan dengan halal.
“Gunakanlah rujukan rasmi JAKIM seperti aplikasi Verify Halal atau portal Halal Malaysia untuk menyemak status sesuatu produk atau premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggalakkan usahawan Muslim agar mengambil langkah proaktif memohon pensijilan Halal JAKIM.

Katanya, proses itu bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi juga membuka ruang ke pasaran yang lebih luas, meningkatkan kredibiliti dan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.
“Insya-Allah, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan sentiasa bersedia membantu dan membimbing usahawan dalam hal ini.
“Semua pihak perlu memainkan peranan memelihara kesucian dan integriti sistem halal negara demi kebaikan umat dan kemajuan industri halal Malaysia,” katanya.
Tambahnya, isu halal adalah isu yang amat penting dan sensitif bagi umat Islam di Malaysia kerana ia bukan sekadar soal hukum, tetapi juga melibatkan aspek keyakinan, kebersihan, keselamatan, dan integriti sesuatu produk atau premis makanan.
“JAKIM telah mengeluarkan kenyataan bahawa istilah “Muslim Choice” yang digunakan oleh pihak Muslim Friendly Watch (MFW) bukanlah satu pengiktirafan halal yang diiktiraf oleh JAKIM atau mana-mana pihak berkuasa agama.
“Berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta membenarkan penggunaan logo rasmi “Halal Malaysia”.
“Oleh itu, penggunaan mana-mana simbol, istilah atau ungkapan yang membawa maksud “halal” selain daripada yang diperakui oleh pihak berkuasa boleh mengelirukan pengguna Muslim dan menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara,” katanya.
Tambahnya, sebagai pengguna Muslim, umat Islam bergantung kepada sistem pensijilan halal yang sah untuk memastikan produk atau premis yang kita kunjungi benar-benar menepati syariat dan piawaian yang ditetapkan.
“Apabila muncul tanda atau istilah yang menyerupai “halal” tetapi tidak diiktiraf, ia boleh menyebabkan kekeliruan dan menjejaskan keyakinan masyarakat.
“Dari sudut keusahawanan, penggunaan istilah seperti “Muslim Choice” tanpa pengesahan rasmi boleh disalah tafsir sebagai jalan mudah untuk menarik pelanggan Muslim.
“Ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pengguna, tetapi juga mencabar keadilan kepada para pengusaha yang telah berusaha mendapatkan sijil halal yang sah melalui proses audit dan pematuhan yang ketat,” katanya. - DagangNews.com








