Teleport cari dana swasta bagi sokong pengembangan sebelum IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Teleport cari dana swasta bagi sokong pengembangan sebelum IPO

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Mac — Teleport sedang mencari dana daripada pelabur swasta bagi meningkatkan kewangannya untuk pengembangan sebelum memulakan proses terbitan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat logistik Capital A Berhad itu.
 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pete Chareonwongsak berkata, syarikat berkenaan bersedia melaksanakan pengumpulan dana swasta tersebut menjelang pelancaran IPO itu tanpa didedahkan garis masanya.
 

"Sekiranya kami sudah berbuat demikian, itu bermakna, kami semakin dekat dengan matlamat untuk menjadikan Teleport sebagai sebuah syarikat tersenarai awam," katanya.
 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah untuk pengumpulan dana tetapi berkata, syarikat itu memberi tumpuan untuk mencapai skala yang diperlukan dan prestasi kewangan kukuh untuk menyokong penyenaraian.
 

Teleport, yang menyumbang kira-kira satu pertiga kepada pendapatan keseluruhan Capital A pada tahun lalu, sebelum ini berjaya memperoleh kemudahan kredit sebanyak AS$50 juta (RM220 juta) pada 2023.
 

Syarikat berkenaan yang menerajui perkhidmatan logistik udara serantau sejak ditubuhkan pada 2018 ketika ini sudah beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Singapura dan China.
 

Ia mempunyai perkongsian dengan 40 syarikat penerbangan komersial, termasuk VietJet Air dari Vietnam, Etihad Airways dan Emirates dari Emiriah Arab Bersatu, Garuda Indonesia dan Air New Zealand.
 

Menyentuh mengenai perancangan masa depan Teleport, Chareonwongsak berkata, syarikat itu menyasarkan peningkatan lima kali ganda dalam transaksi penghantaran bungkusan secara harian sepanjang tahun ini.

 

"Menjelang 2025, kami dengan agresif berhasrat meningkatkan sasaran untuk dapat menghantar sejumlah dua juta bungkusan setiap hari daripada hanya sebanyak 368,000 bungkusan sehari," katanya.
 

Syarikat itu juga tambah beliau, ada merancang untuk memasuki pasaran Eropah menjelang suku keempat 2025 serta menggunakan kehadirannya di rantau Asia Barat dan Asia Tenggara sebagai pintu masuk. - DagangNews.com