Tealive lancar pek minuman segera 3 dalam 1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tealive lancar pek minuman segera 3 dalam 1

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo (kanan), bersama bekas Menteri dan podcaster popular, Khairy Jamaluddin (kiri), ketika sesi siaran langsung TikTok bagi memperkenalkan rangkaian minuman 3-dalam-1 Tealive serta barangan edisi terhad.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Jun - Tealive secara rasmi memasuki ke pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dengan pelancaran rangkaian minuman 3-dalam-1 pertamanya.

 

Menerusi varian teh susu, kopi dan coklat, sachet ini menawarkan rasa lazat setaraf kafe yang boleh dinikmati pada bila-bila masa dan di mana jua. 

 

Majlis pelancaran itu berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya bersempena dengan pelancaran menu terbaharu dan turut dirasmikan oleh bekas Menteri dan “podcaster”, Khairy Jamaluddin yang juga penyokong kuat inovasi dan keusahawanan tempatan.

 

tealive

 

Khairy berkata, produk baharu Tealive ini mencerminkan bakat, idea, dan semangat juang jenama tempatan serta perjalanan Tealive sebagai jenama terkemuka di Asia Tenggara daripada kios kepada kediaman.

 

“Kita bukan sekadar mengeksport produk tetapi turut mengetengahkan gaya hidup dan identiti kita.

 

“Kita perlukan lebih banyak jenama tempatan seperti Tealive yang berani memimpin dengan jati diri dan kepercayaan diri tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

tealive

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, pelancaran itu merupakan langkah strategik bagi memastikan kelestarian jenama, sejajar dengan perubahan gaya hidup yang mementingkan kemudahan dan keselesaan.

 

“Setiap pek minuman ‘3-in-1’ ini boleh didapati terlebih dahulu di pasar raya Aeon dan cawangan Tealive di seluruh negara, serta di dalam talian menerusi platform e-dagang bermula 15 Jun, sebelum diperluaskan ke lebih banyak saluran runcit mulai Julai.

 

“Ini merupakan cara kami membawa saat istimewa Tealive ke dalam rutin harian, sama ada ketika dalam perjalanan, di tempat kerja atau ketika berehat di rumah.

 

tealive

 

“Malahan, setiap pek perlu menawarkan lebih daripada rasa sedap semata-mata, sebaliknya membawa pengalaman 'brewing positivity' yang menjadi nilai utama Tealive,” katanya.

 

Setiap kotak mengandungi lima hingga enam pek dijual pada harga RM12.90 setiap satu, dengan tiga jenis teh iaitu signature milk tea, matcha tea, dan teh tarik, tiga jenis kopi iaitu signature coffee, caramel macchiato, dan hazelnut coffee, dan tiga jenis coklat iaitu signature coco, dark chocolate, dan chocolate hazelnut.

 

Majlis pelancaran turut memperkenalkan siri minuman baharu seperti teh susu Bang Bang versi lebih sihat dengan tekstur berkrim, serta siri teh premium Da Hong Pao dan Snowy.- DagangNews.com