KUALA LUMPUR 12 Nov – Tawaran umum wajib (Mandatory General Offer, MGO) oleh pemegang saham terbesar Vestland Bhd yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding pasaran, berakhir dengan penerimaan yang sangat minimum.
Tawaran sebanyak 34 sen sesaham daripada tiga pemegang saham utama iaitu Pengarah Urusan dan pemegang saham terbesar; Datuk Liew Foo Heen, pemegang saham kedua terbesar, Datuk Soo Sze Ching dan Pengarah Eksekutif Wong Sai Kit – yang mengawal lebih 70% pegangan syarikat, hanya menerima 69,200 saham atau 0.01% daripada jumlah saham yang sah diterima pada tarikh tutup.
Sebelum tawaran, Liew memegang 34% pegangan, Soo 33.2% (33.05% melalui Noble Pinnacle (Holding) Sdn Bhd dan 0.03% melalui Noble Pinnacle Sdn Bhd), manakala Wong memegang 3.72%.
Tawaran ini dicetuskan selepas ketiga-tiga pihak menandatangani perjanjian pemegang saham untuk mengawal hak, tanggungjawab dan pengurusan syarikat.
ARTIKEL BERKAITAN: Vestland terima tawaran pengambilalihan wajib pada 34 sen sesaham, diskaun lebih 32% dari harga pasaran
Sebahagian daripada perjanjian itu menyaksikan Liew dan Wong menjual 30.69 juta saham atau 3.25% pegangan kepada Noble Pinnacle (Holding) Sdn Bhd pada harga RM10.43 juta, bersamaan 34 sen sesaham.
Noble Pinnacle (Holding) Sdn Bhd menjadi pemegang saham besar syarikat sejak November tahun lalu selepas memperoleh 29.8% pegangan daripada Woo melalui urus niaga luar pasaran.
Saham Vestland ditutup setengah sen atau 1.14% lebih rendah pada 43.5 sen, menilai syarikat pada RM406.11 juta.
Ketiga-tiga pemegang saham utama menyatakan niat untuk mengekalkan status penyenaraian Vestland melalui MGO tersebut. - DagangNews.com








