Tawaran pengambilalihan MyTech jadi tanpa syarat selepas pegangan PAC lepasi 50% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran pengambilalihan MyTech jadi tanpa syarat selepas pegangan PAC lepasi 50%

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – MyTech Group Bhd mengesahkan tawaran pengambilalihan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Cheng Joo Teik, berubah menjadi tanpa syarat selepas pihak-pihak yang bertindak secara bersama (PAC) melepasi paras 50% pegangan saham dalam syarikat itu.

 

Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, Joo Teik bersama PAC memegang 53.61% kepentingan ekuiti dalam MyTech setakat penutupan pasaran pada Selasa (20 Januari).

 

“Sehubungan itu, tawaran pengambilalihan pada harga 30 sen sesaham akan kekal dibuka sehingga 5 petang, 3 Februari,” menurut pemfailan tersebut. 

 

Berdasarkan harga tawaran tersebut, MyTech yang terlibat dalam pembuatan spring ketepatan serta penyediaan perkhidmatan kewangan, dinilai pada RM73.84 juta.

 

Joo Teik sebelum ini melancarkan tawaran pengambilalihan selepas meningkatkan pegangannya sebanyak 17.7% kepada 42.51% dalam MyTech.

 

Bagaimanapun, penasihat bebas kepada cadangan itu, DWA Advisory, berpandangan tawaran tersebut adalah tidak adil dan tidak munasabah, memandangkan harga tawaran berada di bawah harga pasaran serta anggaran nilai saksama antara 33 sen hingga 36 sen. 

 

Sehubungan itu, DWA Advisory mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran berkenaan. - DagangNews.com