KUALA LUMPUR 19 Mei — Tawaran awam permulaan (IPO) Bus Cap Berhad mendapat sambutan tinggi apabila terlebih langganan sebanyak 72.24 kali dengan menerima hampir 10,000 permohonan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar bas berpangkalan di Ipoh, Perak itu berkata, ia melibatkan lebih 1.4 bilion saham daripada pelabur awam warganegara Malaysia.
Katanya lagi, secara keseluruahn sebanyak 9,992 permohonan diterima bagi sejumlah 1.404 bilion saham terbitan berbanding hanya kira-kira 19.17 juta saham yang diperuntukkan kepada awam.
"Bagi kategori pelabur Bumiputera, IPO itu terlebih langganan sebanyak 66.68 kali selepas menerima sebanyak 5,142 permohonan untuk sejumlah 648.69 juta saham ditawarkan," kata kenyataan Bus Cap.
Sementara itu, bahagian awam bukan Bumiputera pula mencatatkan lebihan langganan lebih tinggi iaitu 77.81 kali menerusi sebanyak 4,850 permohonan yang melibatkan sejumlah 755.34 juta saham.
Menurut syarikat itu, sebanyak 11.5 juta saham terbitan diperuntukkan kepada individu berkelayakan turut habis dilanggan sepenuhnya sejak dibuka awal bulan ini dan ditutup pada 15 Mei 2026.
Selain itu ujarnya, sejumlah 76.68 juta saham terbitan dan 19.17 juta saham tawaran yang ditawarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian juga berjaya ditempatkan sepenuhnya.
"Secara keseluruhan, sebanyak 95.85 juta saham penempatan diagihkan kepada 30 pelabur, dengan pemegang terbesar menerima 18 juta saham atau 18.78% daripada keseluruhan saham," katanya.
Bagaimanapun tambah Bus Cap, tiada mana-mana pelabur secara penempatan yang muncul sebagai pemegang saham utama baharu dalam pegangan syarikat berkenaan hasil daripada proses IPO tersebut.
Saham kumpulan itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Jun 2026 selepas proses IPO selesai, dengan ia menyasarkan untuk mengumpul permodalan sebanyak RM24.69 juta.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO syarikat berkenaan. - DagangNews.com
Tawaran awam permulaan Bus Cap terlebih langgan 72 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh AMREE AHMAD







