KUALA LUMPUR 13 Julai – Westports Holdings Bhd dijangka mencatat prestasi kewangan lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2 FY26) apabila kenaikan caj pengendalian kontena dijangka mampu mengatasi peningkatan kos bahan api, menurut RHB Research.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan penarafan “Beli” terhadap pengendali pelabuhan berkenaan, selain menaikkan sasaran harga saham Westports kepada RM7.49 daripada RM6.55 sebelum ini selepas menyemak semula andaian tarif dalam model penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF).
RHB Research berkata, pelarasan tersebut dibuat berdasarkan jangkaan bahawa peningkatan tarif pengendalian kontena akan memberi sokongan lebih kukuh kepada pendapatan Westports, sekali gus mengimbangi tekanan daripada peningkatan kos operasi, khususnya bahan api.
Westports dijadualkan mengumumkan keputusan kewangan bagi suku kedua pada 24 Julai ini, dengan RHB Research menjangkakan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) syarikat berada antara RM280 juta hingga RM320 juta.
Anggaran itu mencerminkan pertumbuhan sekitar 20% hingga 40% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh peningkatan caj pengendalian kontena serta pertumbuhan berterusan jumlah kontena yang dikendalikan di pelabuhan tersebut.
Menurut RHB Research, unjuran prestasi itu telah mengambil kira peningkatan kos bahan api sebanyak 30% berbanding paras sebelum konflik, sekali gus mengehadkan kesan sekiranya harga minyak meningkat lagi susulan ketegangan geopolitik membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Firma itu berkata, Westports turut dijangka menikmati pengurangan kos operasi apabila penggunaan bahan api berkurangan kira-kira 10% pada suku keempat, selepas syarikat itu mula menggunakan 60 trak elektrik menjelang suku ketiga tahun kewangan 2026.
Selain itu, Westports tidak tertakluk kepada mekanisme pelarasan automatik bahan api yang melindunginya daripada peningkatan kos elektrik yang berkait dengan perubahan harga bahan api.

Dari sudut permintaan, RHB Research melihat prestasi eksport Malaysia yang kukuh, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) akan terus menyokong pertumbuhan jumlah kontena di Westports.
Firma itu berkata, eksport Malaysia meningkat 24.3% dalam tempoh lima bulan pertama 2026 walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, menunjukkan aktiviti perdagangan negara kekal berdaya tahan dan memberi manfaat kepada aktiviti pelabuhan.
RHB Research turut menjangkakan pertumbuhan jumlah kontena dapat mengimbangi normalisasi caj perkhidmatan nilai tambah pada suku kedua selepas isu kesesakan pelabuhan yang berlaku pada Januari berjaya diselesaikan.
Menurut firma itu, caj perkhidmatan nilai tambah yang meningkat ketika tempoh kesesakan sebelum ini dijangka kembali ke paras lebih normal, namun kesannya dapat ditampung oleh peningkatan jumlah kontena yang dikendalikan.
Pengurusan Westports sebelum ini memaklumkan jumlah kontena meningkat 3% tahun ke tahun pada April, berbanding penurunan kira-kira 1% pada suku pertama.
RHB Research juga mengekalkan unjuran pertumbuhan jumlah kendalian kontena sebanyak 4.5% bagi tahun kewangan 2026, sejajar dengan panduan pengurusan untuk pertumbuhan satu digit rendah.
Susulan semakan terhadap andaian tarif itu, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan Westports bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 4% hingga 6%.
Bagaimanapun, risiko utama terhadap prospek syarikat masih perlu diberi perhatian termasuk pertumbuhan jumlah kontena yang lebih lemah daripada jangkaan serta peningkatan kos operasi. - DagangNews.com








