KUALA LUMPUR 24 Mac - Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman muncul sebagai pemegang saham utama baharu NexG Berhad selepas memiliki pegangan sebanyak 6.1% dalam Kuantum Juang Sdn Bhd.
Beliau juga memperoleh sebanyak 291,357,750 waran kumpulan, mewakili 20.9% daripada jumlah waran terbitan NexG.
Dalam perkembangan lain, NexG mengumumkan, Datuk Safian Mohd Yunus tidak lagi menjadi pemegang saham utama kumpulan, susulan beliau tidak lagi mempunyai kepentingan utama dalam Kuantum Juang Sdn Bhd.
"Kami berbesar hati menyambut Tan Sri Mohd Khairul Adib sebagai pemegang saham utama NexG. Keupayaan untuk menarik pelabur utama bertaraf tinggi ini membuktikan kekuatan model perniagaan dan visi kami
"Ketika kami melaksanakan pelan transformasi untuk menjadi peneraju dalam pasaran identiti fizikal dan digital serta menyumbang kepada transformasi digital Malaysia, pengalaman kepimpinan luas yang dimiliki Tan Sri Mohd Khairul Adib akan menjadi aset penting kepada kumpulan.
"Dengan sokongan pemegang saham dan kepimpinan baharu, kami berada di landasan tepat untuk menjadi rakan strategik dalam projek transformasi digital nasional seperti MyDigital ID dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital," kata Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin.
Mohd Khairul Adib telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif NexG pada 22 November 2024.
Beliau membawa pengalaman cemerlang selama 34 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk jawatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT).
Selain itu, beliau pernah berkhidmat di pelbagai kementerian seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta Kementerian Pendidikan, serta menganggotai Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), MAVCOM, dan Malaysia Airports Holdings Berhad.
Pada 24 Mac 2025, diumumkan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah MMAG Holdings Berhad bagi memberi tumpuan kepada kepentingan lain. - DagangNews.com








