Tan Chong hanya nikmati manfaat kerjasama dengan Perodua jika pengeluaran EV konsisten 2,500 unit sebulan - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tan Chong hanya nikmati manfaat kerjasama dengan Perodua jika pengeluaran EV konsisten 2,500 unit sebulan - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Nov - Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM) hanya akan menerima manfaat daripada kerjasama dengan Perodua dalam penghasilan kenderaan elektrik (EV) jika pengeluaran mampu dikekalkan melebihi 2,500 sebulan secara konsisten, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Bank pelaburan itu berkata, ini kerana hanya pada tahap itu kos operasi dapat diseimbangkan dengan volum dan kapasiti yang tersedia.

 

"Tanpa tahap pengeluaran ini, pemain dalam rantaian bekalan mungkin tidak merasai pulangan pelaburan yang ketara," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Perodua menyasarkan pelancaran EV pertama yang dibangunkan secara tempatan menjelang akhir November 2025, pada harga bawah RM80,000 dan jarak pemanduan sehingga 400 km. 

 

Pengeluaran awal diunjurkan sekitar 500 unit sebulan, sebelum meningkat kepada 2,500 unit sebulan.

 

TCM menerusi anak syarikatnya, Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), menandatangani Surat Niat (LOI) dengan Perodua bagi menyokong projek EV pertama pengeluar automotif nasional itu.

 

Melalui perjanjian tersebut, TCMA akan menyediakan perkhidmatan ED coating, talian pengecatan, serta penyewaan dan penggunaan talian pemasangan khusus bagi projek berkenaan. 

 

Maybank IB menilai langkah ini secara positif kerana ia berpotensi meningkatkan kadar penggunaan kilang TCMA dan memperluaskan penglibatan TCM dalam rantaian bekalan EV tempatan.

 

Firma penyelidikan turut menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM0.73, berbanding RM0.36 sebelum ini, berdasarkan 0.2x FY26E P/BV, sambil menaikkan penarafan saham kepada HOLD daripada SELL. 

 

Unjuran pendapatan bagaimanapun dikekalkan sementara menunggu maklumat lanjut dalam taklimat keputusan kewangan akan datang.

 

Menurut Maybank IB, walaupun langkah kerjasama ini strategik, analisis awal menunjukkan sekalipun pengeluaran TCMA berganda, pengurangan kerugian FY26E masih dijangka di bawah 5%. 

 

Namun, kehadiran TCM dalam ekosistem EV dan OEM tempatan dilihat sebagai langkah penting selaras agenda nasional mempercepatkan peralihan kepada kenderaan tenaga baharu (NEV).

 

Maybank IB percaya TCM kini memasuki fasa penambahbaikan yang lebih jelas walaupun impak keuntungannya masih sederhana, sekali gus menyokong rasional peningkatan penilaian P/BV kepada 0.2x dalam harga sasaran baharu. - DagangNews.com