KUALA LUMPUR 24 Nov - Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM) yang terus berdepan cabaran prestasi disaran meneroka kemungkinan melaksanakan diversifikasi perniagaan atau proses penyatuan dan pengambilalihan (M&A) bagi meningkatkan keuntungan kumpulan, menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, langkah itu juga boleh mengurangkan kerugian yang kini dihadapi kumpulan.
TCM melaporkan kerugian bersih teras (CNL) 9M25 sebanyak MYR115.2 juta, hampir selari dengan unjuran kerugian FY25E firma sebanyak MYR147.3 juta dan konsensus sebanyak MYR158.7 juta.
Menurut Maybank IB, peluang penilaian semula (rerating) bagi saham TCM akan lebih ketara sekiranya kumpulan mengambil pendekatan lebih agresif dalam memperkukuh model perniagaannya.
"Pemangkin penilaian semula berpotensi termasuk penstabilan hak pengedaran Nissan atau aktiviti M&A dan diversifikasi bagi mengurangkan kerugian dan meningkatkan keuntungan kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TCM dijangka memainkan peranan penting dalam ekosistem EV negara dengan menyokong pelancaran EV pertama Perodua (P2) pada November 2025, diikuti pemasangan CKD TQ Wuling Bingo EV pada Disember 2025.
Menurut Maybank IB, langkah itu dilihat dapat meningkatkan penggunaan kapasiti kilang serta memperkukuh kedudukan TCM dalam rantaian bekalan EV tempatan.
"Namun, perlu diingatkan bahawa impak kewangan EV dijangka sederhana pada peringkat awal," kata firma itu.
Sementara itu MBSB Research berkata, TCM dijangka melancarkan dua model Nissan e-POWER baharu tahun depan (berkemungkinan Serena dan X-Trail), walaupun segmen ini dijangka kekal sangat kompetitif.
Sementara itu, pemasangan tempatan untuk TQ Wuling Bingo EV sedang berjalan mengikut jadual dengan pelancaran komersial disasarkan pada 4QCY25.
"Kami menunggu penjelasan lanjut mengenai jumlah jualan dan prospek keseluruhan pada taklimat minggu ini.
"Kami masih menjangkakan Kumpulan kekal dalam kerugian sepanjang tempoh ramalan kami. Harga sasaran kami kekal pada RM0.34, berdasarkan PBVS FY26F sebanyak 0.1x.," kata firma itu. - DagangNews.com








