KUALA LUMPUR 23 Feb – Program Tahun Melawat Malaysia 2026 bermula dengan prestasi memberangsangkan apabila 9.4 juta pergerakan penumpang direkodkan di seluruh rangkaian lapangan terbang Malaysia pada Januari 2026.
Peningkatan ini mencerminkan daya tarikan negara yang semakin kukuh di peringkat global.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal sebagai lapangan terbang paling sibuk dengan 5.9 juta penumpang, meningkat 8.2 peratus berbanding Januari tahun sebelumnya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pula mencatatkan 741,183 penumpang, naik 3.8 peratus YoY, menandakan pertumbuhan stabil di kawasan utara negara.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata prestasi ini menunjukkan permintaan perjalanan yang tinggi serta peluasan sambungan penerbangan Malaysia di rantau Asia.
“Usaha MAHB mempertingkatkan infrastruktur dan kualiti perkhidmatan adalah penting untuk memastikan kapasiti lapangan terbang sejajar dengan pertumbuhan trafik penumpang.
“Bagi meningkatkan pengalaman pengguna, MAHB juga melancarkan RIMBA @ KLIA di Terminal 1 Satellite Building, menyediakan ruang rehat bertemakan alam semula jadi.
“Selain itu, sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMs) di terminal itu kini mencatatkan kadar kepatuhan 99 peratus yang dapat melancarkan aliran kenderaan di kawasan menurun dan mengambil penumpang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sambungan penerbangan antarabangsa turut diperluas dengan pembukaan sekurang-kurangnya enam laluan baru ke Shanghai, Jinan, Hong Kong, Hefei, Guangzhou, dan Harbin.
Kesemua laluan ini menghubungkan Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Tawau, dan Penang, menyokong pertumbuhan pelancongan dan ekonomi serantau.
Prestasi positif juga dicatat di luar negara, dengan lapangan terbang milik Malaysia di Istanbul, Turki (ISGIA) mengendalikan 4.2 juta penumpang pada Januari, meningkat 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata jumlah itu termasuk 2.4 juta penumpang antarabangsa dan 1.8 juta penumpang domestik, menunjukkan pengaruh Malaysia Airports semakin meluas di peringkat global.
“Dengan perkembangan ini, Malaysia dilihat semakin kukuh sebagai destinasi pelancongan pilihan dan pusat penghubung serantau, sejajar dengan aspirasi negara menjadi negara paling mudah diakses di Asia-Pasifik,” katanya. - DagangNews.com








