KUALA LUMPUR 30 Jan – Tafi Industries Berhad bercadang memperluaskan perniagaannya merangkumi perdagangan dan pembekalan perabot serta kelengkapan dalaman, bahan binaan, panel solar dan produk berkaitan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tafi berkata ketika ini, ia terlibat dalam empat segmen utama iaitu pembinaan, pembangunan hartanah, perdagangan perabot serta perdagangan panel solar.
“Segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kumpulan, manakala perdagangan panel solar sebelum ini hanya berskala kecil dengan sumbangan kurang daripada 25% terhadap pendapatan dan keuntungan bersih kumpulan.
“Kami telah menghentikan aktiviti pembuatan perabot sendiri selepas menjual sebidang tanah dan kilang di Muar, Johor. Langkah ini diambil kerana operasi pembuatan mengalami kerugian.
“Tafi kini bercadang mengekalkan kehadirannya dalam industri perabot melalui perdagangan perabot dan kelengkapan dalaman daripada pembekal pihak ketiga,” katanya dalam makluman tersebut.
Segmen bahan binaan pula sebelum ini beroperasi sebagai sokongan kepada projek pembinaan kumpulan. Tafi merancang menjadikan segmen bahan binaan sebagai perniagaan tersendiri yang bebas, dengan kontrak perdagangan dijangka diperoleh daripada pihak berkaitan dan pelanggan luar.
Selain itu, segmen panel solar juga dijangka diperluas. Walaupun sebelum ini sumbangannya kecil, TAFI merancang meningkatkan skala operasi melalui kontrak dengan pihak berkaitan dan pelanggan ketiga, sekali gus membolehkan syarikat memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Menurut pengurusan TAFI, pengembangan segmen perdagangan ini dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih kumpulan dan/atau mengalihkan 25% atau lebih daripada aset bersih kumpulan ke dalam operasi yang berbeza daripada segmen sedia ada.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sri Azlan Azmi akan mengetuai pengurusan pengembangan ini.
Tambahan tenaga kerja mungkin direkrut pada masa hadapan bergantung kepada skala kontrak perdagangan dan keperluan operasi kumpulan.
Syarikat mengakui terdapat risiko termasuk ketidaktentuan ekonomi, kos bahan, gangguan rantaian bekalan, serta persaingan daripada pemain sedia ada dalam pasaran perabot, bahan binaan dan panel solar. Namun, Tafi yakin langkah ini akan memperkukuh kepelbagaian pendapatan dan meningkatkan kestabilan keuntungan.
Cadangan pengembangan segmen perdagangan ini akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan datang.
Syarikat menjangkakan pengembangan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya pada separuh pertama 2026, sejurus mendapat kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan. - DagangNews.com








