Tabung Haji beli lagi 1.5 juta saham, pegangan dalam SKP Resources kini meningkat lebih 5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tabung Haji beli lagi 1.5 juta saham, pegangan dalam SKP Resources kini meningkat lebih 5%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb – Lembaga Tabung Haji kembali muncul sebagai pemegang saham utama dalam SKP Resources Bhd selepas lebih sedekad, susulan pembelian saham terbaharu dalam syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SKP Resources berkata Tabung Haji membeli 500,000 saham pada 12 Februari 2026, bersamaan 0.03% pegangan, sekali gus meningkatkan kepentingannya kepada 5.028%. 

 

“Beberapa hari kemudian, institusi itu menambah lagi satu juta saham, menjadikan jumlah pegangan meningkat kepada 5.092% atau 79.56 juta saham,” kata syarikat tersebut dalam makluman itu.

 

Untuk rekod, Tabung Haji pernah menjadi pemegang saham utama SKP Resources pada Februari 2013 dengan pegangan mencecah 10%. 

 

Bagaimanapun, namanya tidak lagi tersenarai dalam kelompok 30 pemegang saham terbesar dalam laporan tahunan bertarikh 1 Ogos 2014.

 

Syarikat itu juga pernah dikeluarkan daripada senarai sekuriti patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada November 2013 sebelum dimasukkan semula dalam semakan pada November 2014.

 

Berdasarkan pendedahan terkini, antara pemegang saham utama SKP Resources ialah keluarga Gan dengan pegangan 40.23%, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (13.39%), Abrdn (10.48%) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP (9.28%).

 

Langkah Tabung Haji meningkatkan pegangan melepasi paras 5% memberi gambaran institusi itu kembali yakin terhadap prospek perniagaan dan prestasi jangka panjang SKP Resources. 

 

Tindakan menambah pegangan, walaupun secara berperingkat, lazimnya dibuat selepas penilaian dalaman dibuat terhadap potensi pertumbuhan syarikat.

 

Dalam konteks pasaran, peningkatan pelaburan oleh dana institusi berskala besar sering ditafsirkan sebagai isyarat positif. 

 

Kehadiran pemegang saham institusi yang kukuh juga boleh meningkatkan keyakinan pelabur lain terhadap kestabilan dan hala tuju sesebuah syarikat. - DagangNews.com