Ta Ann berpotensi tingkatkan dividen sehingga 8.3% - PublicInvest Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ta Ann berpotensi tingkatkan dividen sehingga 8.3% - PublicInvest Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 April - Ta Ann Holdings Bhd dilihat mempunyai ruang yang luas untuk meningkatkan pembayaran dividen susulan kedudukan tunai bersih yang kukuh serta aliran tunai bebas yang stabil, menurut PublicInvest Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dengan kedudukan tunai bersih hampir RM400 juta dan aliran tunai bebas tahunan sekitar RM220 juta, kumpulan itu dilihat mempunyai kapasiti mencukupi untuk mengekalkan pulangan pemegang saham yang menarik.

 

Tambahnya, prospek harga minyak sawit mentah (CPO) yang memberangsangkan turut membuka ruang kepada pembayaran dividen yang lebih tinggi daripada jangkaan sebelum ini.

 

“Berdasarkan prospek semasa, terdapat potensi pembayaran dividen yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

"Dengan andaian dividen penuh antara 40 hingga 45 sen sesaham, saham Ta Ann dianggarkan menawarkan hasil dividen sekitar 7.3% hingga 8.3%,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ini sekali gus menjadikan saham tersebut antara kaunter dengan hasil dividen tertinggi di Bursa Malaysia, disokong oleh kekuatan aliran tunai serta harga komoditi yang menggalakkan.

 

PublicInvest berkata,  prospek harga CPO yang kukuh dijangka menyokong prestasi pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 (FY2026F).

 

Katanya, walaupun pengeluaran tandan buah segar (FFB) suku pertama FY2026 (1QFY26) ketinggalan berbanding sasaran pertumbuhan setahun penuh pengurusan sebanyak 12.5%, pihak pengurusan kekal yakin dapat mencapai 90% hingga 95% daripada sasaran pengeluaran FFB setahun penuh sebanyak 773,000 tan metrik.

 

Katanya, kelewatan tersebut sebahagian besarnya disebabkan cuaca kering berpanjangan di seluruh Sarawak.

 

"Analisis sensitiviti menunjukkan setiap pergerakan RM100 setan dalam harga CPO boleh menyumbang tambahan kira-kira RM12 juta kepada unjuran pendapatan kumpulan," kata firma itu.

 

Sementara itu, keputusan kewangan Ta  Ann bagi 1QFY26F dijadualkan diumumkan pada 22 Mei 2026, dengan saham ketika ini menawarkan hasil dividen menarik sekitar 7.3%.

 

PublicInvest mengekalkan saranan Outperform dengan harga sasaran berasaskan SOP sebanyak RM6.66.

 

Kumpulan dijangka mencatat permulaan sederhana pada suku pertama FY2026 bagi kedua-dua segmen perladangan dan kayu balak, sebelum momentum pendapatan bertambah baik pada suku-suku berikutnya.

 

Pada 1QFY26, Ta Ann mencatat pertumbuhan FFB sebanyak 7% tahun ke tahun kepada 145,898 tan metrik, manakala harga spot MPOB susut kepada RM4,180 setan berbanding RM4,712 setan pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, segmen kayu balak dijangka terus mencatat kerugian, dipengaruhi kelemahan dolar AS serta harga jualan yang lebih rendah.

 

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Jepun yang lebih lemah secara struktur, kumpulan telah mempelbagaikan pasaran eksport, dengan Yemen kini muncul sebagai destinasi utama yang menyumbang kira-kira 60% daripada jumlah eksport.

 

Dari sudut positif, kerajaan negeri Sarawak turut meluluskan pengurangan sementara 50% kadar royalti kayu balak bagi kayu hutan semula jadi, sekali gus dijangka memberikan kelegaan kos kepada kumpulan dalam tempoh setahun akan datang. - DagangNews.com