T7 Global raih kontrak setahun daripada Vestigo Petroleum, libatkan kerja FPSO Berantai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global raih kontrak setahun daripada Vestigo Petroleum, libatkan kerja FPSO Berantai

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 April - T7 Global Bhd memperoleh perintah kerja selama setahun daripada Vestigo Petroleum Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan kemudahan pengeluaran terapung FPSO Berantai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd.

 

Menurutnya, skop kerja merangkumi pemutusan sambungan dan pengangkutan FPSO Berantai dari medan luar pesisir, selain penundaan kapal ke kemudahan dok kering yang ditetapkan untuk kerja penyelenggaraan.

 

“Ia turut melibatkan penyambungan semula serta pentauliahan semua sistem berkaitan bagi memulihkan keupayaan operasi sepenuhnya selepas kerja dok kering selesai,” katanya.

 

Perintah kerja itu berkuat kuasa dari 18 Mac 2026 hingga 18 Mac 2027.

 

T7 Global berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 serta tempoh seterusnya sehingga tamat kontrak.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu turut mengakui terdapat beberapa risiko pelaksanaan termasuk ketersediaan tenaga kerja mahir, peralatan serta keperluan pematuhan peraturan.

 

Sehubungan itu, Tanjung Offshore akan melaksanakan langkah mitigasi berdasarkan pengalaman dan kepakaran sedia ada dalam mengendalikan kontrak seumpamanya. - DagangNews.com