KUALA LUMPUR 11 Mac — Phillip Capital mengekalkan pandangan positif terhadap prospek pertumbuhan pendapatan T7 Global Berhad untuk sepanjang 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, tinjauan itu disokong oleh dua unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (Mopu), kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM), kerja palam serta pengiktirafan hasil yang pantas daripada projek sistem pengendalian bagasi (BHS).
Mopu merupakan sejenis struktur luar pesisir mudah alih yang dibina khas serta boleh digunakan semula untuk pengekstrakan minyak dan gas dari dasar laut. Ia biasanya digunakan dalam projek air cetek di rantau Asia Barat dan Asia.
Justeru firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham syarikat tersebut dengan harga sasaran 66 sen sesaham.
“Kami masih menyukai T7 Global kerana prospek pendapatannya yang positif, disokong oleh buku pesanannya yang besar, terutama terdiri daripada pakej Pan Malaysia dan Mopu yang memberikan kejelasan pendapatan lima hingga 10 tahun.
"Risiko utama kepada saranan "beli" kami termasuk kelewatan operasi yang tidak dijangka dalam Mopu sedia ada, kelewatan yang tidak dijangka dalam projek BHS serta pesanan kerja, dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan," katanya.
Syarikat itu sebelum ni mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd, telah menerima surat anugerah daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd untuk penyediaan perkhidmatan MCM.
Kontrak itu sudah berkuat kuasa dari 19 Disember 2024, dan berjalan selama enam bulan dengan pilihan untuk melanjutkan enam bulan lagi mengikut budi bicara Hibiscus.
Walaupun nilai kontrak rasmi itu belum didedahkan T7 Global, Phillip Capital menganggarkan ia sekitar RM40 juta sehingga RM50 juta.
“Berdasarkan keuntungan gabungan kumpulan selepas cukai dan margin faedah minoriti (Patami) sebanyak 6 peratus, kontrak ini dianggarkan menyumbang RM3 juta untuk Patami pada 2025, menyumbang kira-kira 6 peratus daripada ramalan pendapatan kami.
“Ini mewakili kejayaan kontrak MCM yang kedua diraih T7 Global pada 2025, menambah pekerjaan MCM yang diperoleh di bawah pakej Pan Malaysia pada 2024 serta kontrak yang diterima baru-baru ini daripada Carigali Hess, dengan nilai gabungan kira-kira RM1.6 bilion hingga RM1.7 bilion,” katanya. - DagangNews.com








