Systech lantik Vincent Nee Aik Chiang sebagai CEO Kumpulan baharu berkuat kuasa 21 Oktober 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Systech lantik Vincent Nee Aik Chiang sebagai CEO Kumpulan baharu berkuat kuasa 21 Oktober 2025

Datuk Vincent Nee Aik Chiang
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Okt – Systech Bhd penyedia penyelesaian korporat digital melantik Vincent Nee Aik Chiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu berkuat kuasa 21 Oktober 2025.

 

Syarikat itu berkata, pelantikan tersebut adalah sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan evolusi syarikat dalam bidang infrastruktur digital dan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

 

“Beliau membawa pengalaman keusahawanan dan kepimpinan lebih 15 tahun, setelah mengasaskan dan membangunkan Kumpulan Syarikat-syarikat Vince, sebuah perusahaan  yang mempunyai kepentingan dalam pembangunan hartanah, pemasaran, pembiayaan, pendidikan, pembinaan dan teknologi.

 

“Kepakarannya dalam transformasi digital serta rekod prestasi dalam pelaksanaan strategik meletakkan beliau pada posisi terbaik untuk menerajui pertumbuhan baharu Systech.

 

“Pelantikan ini satu langkah strategik penting bagi Systech yang kini beralih daripada perintis penyelesaian e-perniagaan dan keselamatan siber kepada peranan lebih besar sebagai pemboleh utama ekonomi digital Malaysia, termasuk dalam bidang pusat data dikuasakan AI, platform awan dan infrastruktur digital gred perusahaan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Systech, Datuk Ong Theng Soon berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan Vincent ke dalam kumpulan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, sambil menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan dan visi strategik beliau.

 

“Pemikiran keusahawanan, kepimpinan berpaksikan teknologi serta kepakaran pelbagai disiplin menjadikan beliau calon terbaik untuk menerajui perjalanan transformasi Systech.

 

“Lembaga Pengarah yakin di bawah kepimpinannya, Systech akan mempercepatkan inovasi menegak jangka panjang dan terus menarik minat pemegang saham baharu,” katanya.

 

Sementara itu, Vincent Nee berkata, beliau teruja dapat menyertai Systech dan bertekad untuk memperkukuh asas pertumbuhan kumpulan dengan memanfaatkan peluang baharu dalam bidang AI, infrastruktur digital dan inovasi platform.

 

“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Lembaga Pengarah dan seluruh pasukan Systech untuk membuka potensi baharu dan meletakkan syarikat ini sebagai peneraju kecemerlangan digital yang berimpak tinggi pada masa depan,” katanya.

 

Peralihan kepimpinan itu berlaku selepas beberapa pencapaian penting dicatatkan oleh Systech baru-baru ini, termasuk jalinan kerjasama strategik bagi membangunkan pusat data dikuasakan AI, pelancaran platform EinvoicePlus proprietari, serta kejayaan kumpulan kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2025.

 

Dengan pelantikan itu, Systech dijangka memperkukuh sinergi antara segmen perniagaannya, memperluas kehadiran serantau, dan memperteguh peranan sebagai peneraju utama dalam memperkasakan ekonomi digital Malaysia. - DagangNews.com