KUCHING 21 Ogos - Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo melancarkan logo rasmi yang dinamakan ‘Wings of Unity’ (Sayap Perpaduan), menandakan satu pencapaian penting ketika syarikat itu bersiap untuk memulakan operasi pada Januari 2026.
Logo berkenaan telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam satu majlis khas di Kompleks Satria Pertiwi di sini hari ini.
Syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan slogan jenama mereka ‘Borneo For You’, yang mencerminkan visi AirBorneo terhadap perjalanan yang bermakna, meraikan budaya serta menjadi penghubung antara komuniti awam dan perniagaan di seluruh benua.

Dalam kenyataannya, AirBorneo berkata syarikat itu akan mengambil alih dan memperluaskan perkhidmatan yang sebelum ini ditawarkan oleh MASwings, termasuk laluan penuh perkhidmatan dan perkhidmatan udara luar bandar penting ke kawasan pedalaman.
“Dengan fokus kepada perkhidmatan berkualiti dan hubungan mendalam dengan warisan tempatan, identiti jenama syarikat penerbangan ini menggabungkan elemen warna dan motif Sarawak, melambangkan perpaduan dan kepelbagaian rantau ini.
“Melalui pelancaran ini, AirBorneo meneguhkan peranannya bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi juga jambatan budaya dan pencerita langit — menyatukan warisan dengan penerbangan moden serta membawa kebanggaan Borneo ke persada antarabangsa,” katanya.
Abang Johari sebelum ini mengumumkan penubuhan AirBorneo pada 12 Februari lalu selepas menandatangani perjanjian jual beli antara Kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group Bhd. - BERNAMA








