Syarikat hiburan milik Capital A, RedRecords menang kes lawan Jannine Weigel | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat hiburan milik Capital A, RedRecords menang kes lawan Jannine Weigel

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov – Mahkamah Tinggi Malaysia pada 10 Oktober lalu mengesahkan bahawa Perjanjian Artis bertarikh 1 Januari 2020 antara syarikat hiburan milik Capital A, RedRecords Sdn Bhd dan penyanyi Jannine Parawie Weigel  adalah sah dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, RedRecords berkata, mahkamah turut membenarkan perintah pelaksanaan khusus atau specific performance yang mengarahkan artis berkenaan supaya mematuhi sepenuhnya terma dan syarat dalam perjanjian tersebut.

 

Di bawah perjanjian berkenaan, RedRecords memegang hak eksklusif terhadap semua aktiviti hiburan Jannine, termasuk kuasa untuk menentukan pelancaran lagu serta mengurus sebarang urusan komersial yang melibatkan artis itu.

 

Mahkamah turut mendapati Jannine telah melanggar syarat-syarat perjanjian apabila beliau sendiri mengeluarkan muzik dan menjalankan aktiviti komersial tanpa mendapat kebenaran daripada RedRecords.

 

Menurut syarikat itu, sebarang laporan yang mendakwa Jannine masih bebas menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran RedRecords adalah tidak tepat dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

 

RedRecords menegaskan komitmen penuhnya untuk menegakkan terma dalam Perjanjian Artis tersebut serta terus menyokong pertumbuhan industri muzik dan hiburan di rantau ini. 

 

Untuk rekod, RedRecords Sdn Bhd ditubuhkan pada Disember 2019 sebagai usaha sama antara Capital A Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd, dan Universal Music Group (UMG). 

 

Penubuhan RedRecords pada ketika itu adalah permulaan Capital A menceburi sektor hiburan dan muzik sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mempelbagaikan sumber pendapatan di luar industri penerbangan.

 

RedRecords memfokuskan kepada pembangunan dan promosi bakat muzik dari Asia Tenggara, dengan matlamat memperkenalkan artis serantau ke pasaran global melalui genre pop Asia yang semakin mendapat perhatian antarabangsa. 

 

Usaha ini juga sejajar dengan hasrat Capital A untuk memperkukuh jenama gaya hidup digitalnya yang merangkumi pelancongan, e-dagang dan hiburan. - DagangNews.com