Syarat kelayakan peniaga runcit sertai SARA dilonggarkan, 7 barang sudah layak, Parlimen dimaklumkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarat kelayakan peniaga runcit sertai SARA dilonggarkan, 7 barang sudah layak, Parlimen dimaklumkan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Jan - Kerajaan telah melonggarkan syarat kelayakan bagi peniaga runcit untuk menyertai sebagai peniaga rakan kongsi di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (Sara), termasuk menurunkan jumlah kategori barangan keperluan asas yang perlu dijual, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

 

Beliau berkata, peniaga kini hanya perlu menjual tujuh daripada 14 kategori barangan makanan asas untuk layak, berbanding syarat terdahulu yang lebih ketat.

 

Katanya, langkah itu bukan sahaja membuka peluang kepada lebih ramai peniaga menyertai program tersebut tetapi turut membantu memperluas capaian program Sara.

 

 

 

 

 

 

"Banyak permohonan telah diterima dan sedang diproses mengikut prosedur yang ditetapkan.

 

“Kerajaan akan berusaha mempercepatkan kelulusan permohonan selaras dengan tempoh dua minggu selepas dokumen lengkap diterima,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang bertanya tentang syarat kelayakan menyertai inisiatif SARA sebagai peniaga dan bagaimana kerajaan boleh mempercepatkan permohonan itu.

 

Chin Tong berkata, peniaga yang ingin menyertai skim SARA perlu mengendalikan kedai runcit, mempunyai pendaftaran SSM sah, lesen premis, Nombor Pengenalan Cukai (TIN) dan menggunakan sistem Point of Sale (POS).

 

 

 

 

 

 

 

 

Menjawab soalan tambahan Chai Yew, beliau berkata, Yayasan MyKasih, sebagai agensi pelaksana SARA, akan menerima komisen satu peratus daripada semua jualan, sebagai sebahagian daripada mekanisme pelaksanaan program.

 

Program SARA salah satu inisiatif utama kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih mampu milik, sambil menggalakkan penyertaan aktif peniaga runcit tempatan.  - DagangNews.com