KUALA LUMPUR 9 April - Satu kajian dilakukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan lebih 93 peratus pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dikeluarkan bagi tujuan keperluan harian isu rumah.
Dalam laporan bertajuk "Menangani Hari Ini, Membentuk Masa Depan: Akaun Fleksibel sebagai Talian Hayat Kewangan untuk Kesejahteraan" menunjukkan 81.7 peratus pengeluaran pula digunakan untuk perbelanjaan berkaitan kecemasan.
“Corak ini selari dengan penemuan terdahulu yang mengenal pasti kedua-dua kategori ini sebagai bidang di mana ahli mendapati kemudahan ini paling berguna, sekali gus menekankan peranannya dalam memenuhi keperluan kewangan segera dan berulang.
“Selain itu, hampir tiga perempat ahli (74.4 peratus) menggunakan dana tersebut untuk komitmen hutang dan pelaburan, manakala 73.3 peratus menyalurkannya kepada perbelanjaan bermusim dan gaya hidup,” menurut laporan itu.
Akaun Fleksibel KWSP diperkenalkan pada 11 Mei 2024, membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Ia terdiri daripada 10% caruman bulanan, dengan pengeluaran minimum RM50 melalui KWSP i-Akaun.
Sementara itu penelitian lebih mendalam terhadap perbelanjaan yang lebih khusus menunjukkan variasi dalam penggunaan pengeluaran merentas keperluan kewangan yang berbeza.
Kira-kira 70 peratus digunakan untuk makanan dan keperluan harian lain, jauh mengatasi kategori lain dan mencerminkan kepentingan akaun tersebut dalam memenuhi keperluan rutin isi rumah.
Walaupun tinjauan itu tidak secara khusus merekodkan item sebenar yang dibeli di bawah setiap kategori, beberapa responden memberikan butiran tambahan dalam maklum balas bertulis mereka.
Di bawah kategori makanan dan keperluan harian, responden lazimnya melaporkan perbelanjaan untuk makanan, barangan runcit, susu formula bayi dan lampin.
Item perbelanjaan kedua tertinggi ialah rawatan kesihatan, dalam kategori perbelanjaan kecemasan.
Penggunaan ketiga paling lazim adalah untuk bayaran hutang (56.6 peratus) yang dikategorikan di bawah pelaburan dan komitmen kewangan.
“Secara keseluruhan, penemuan ini menunjukkan bahawa pengeluaran fleksibel berfungsi sebagai penampan penting bagi ahli untuk menampung keperluan harian, mengurus keperluan kesihatan serta memenuhi komitmen kewangan,” katanya.
Sebaliknya, laporan itu menyatakan hanya 18.3 peratus pengeluar melaporkan menggunakan dana untuk tujuan gaya hidup.
“Peratusan yang agak rendah ini menunjukkan bahawa perbelanjaan pilihan bukan merupakan motivasi utama pengeluaran, dengan penggunaan lebih tertumpu kepada perbelanjaan penting dan pengurangan risiko berbanding penggunaan tidak perlu,” kata laporan itu.
Selain itu, laporan tersebut menunjukkan pandangan bercampur-campur mengenai kesan pengeluaran terhadap kecukupan simpanan persaraan, mencerminkan pertukaran antara memenuhi keperluan kewangan segera dan mengekalkan simpanan persaraan.
Kebimbangan mengenai kecukupan simpanan dilihat timbul bukan daripada kekerapan atau jumlah pengeluaran, tetapi daripada apa yang berlaku selepas tekanan kewangan jangka pendek reda.
“Apabila keperluan jangka pendek telah ditangani, ahli menjadi lebih sedar tentang implikasi jangka panjang terhadap simpanan persaraan mereka serta keperluan untuk membina semula simpanan,” menurut laporan itu. - DagangNews.com








