Suspek pecah masuk pusat Nadi Johor ditahan polis, MCMC tingkatkan keselamatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suspek pecah masuk pusat Nadi Johor ditahan polis, MCMC tingkatkan keselamatan

KUALA LUMPUR 7 Jan - Polis telah berjaya menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam beberapa siri kes pecah masuk dan kecurian melibatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri Johor.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, penahanan suspek itu merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara agensi.

 

"MCMC ingin merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Johor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, atas tindakan menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam siri kes pecah masuk dan kecurian melibatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negeri Johor," kata kenyataan itu.

 

MCMC berkata, bagi tempoh antara September hingga Disember 2025, sebanyak 13 kejadian pecah masuk melibatkan NADI telah direkodkan di Johor, mengakibatkan kehilangan wang tunai serta kerosakan aset. 

 

"Insiden-insiden ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian NADI dan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat," katanya.

 

Kenyataan itu menambah, penahanan suspek itu merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara PDRM Kontinjen Johor, khususnya JPJKK Johor dengan IPD Pontian, bersama MCMC dan pengurusan NADI. 

 

Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi NADI di Johor, sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti.

 

Sebagai langkah susulan, NADI sedang melaksanakan penilaian keselamatan di pusat-pusat NADI yang terlibat, termasuk penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar. 

 

"Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas dan memperkukuh peranan komuniti setempat dalam pencegahan jenayah," katanya. - DagangNews.com