KUALA LUMPUR 11 Mac – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas akses kepada perkongsian data dalam usaha menyokong inisiatif pembiayaan pasaran modal untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) serta syarikat pertengahan (MTC).
MoU berkenaan yang berkuat kuasa selama dua tahun itu ditandatangani oleh Pengerusi SC, Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz di ibu pejabat SC semalam.
"Kerjasama itu juga bertujuan memperkukuh fungsi penyeliaan kedua-dua agensi selain meningkatkan integriti pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Capital Market Masterplan 2026–2030 (CMP) serta selari dengan pelan hala tuju lima tahun SC iaitu Catalysing MSME and MTC Access to the Capital Market: 5-Year Roadmap (2024–2028).
Pada masa sama, ia melengkapi peranan SSM dalam memperkukuh ekosistem korporat melalui penyediaan data korporat yang komprehensif serta pengawasan kawal selia yang lebih berkesan.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua agensi akan meningkatkan analisis data berkaitan keperluan pembiayaan MSME dan MTC menggunakan pangkalan data yang lebih kukuh dan boleh dipercayai.
Langkah itu dijangka membantu mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta memerlukan pembiayaan, sekali gus membolehkan penyelesaian pembiayaan pasaran modal yang lebih bersasar bagi menyokong pengembangan dan kelestarian perniagaan mereka.
Dengan mengintegrasikan data korporat komprehensif milik SSM, SC berupaya mengenal pasti syarikat tidak tersenarai yang berpotensi tinggi serta keperluan pembiayaan mereka sebelum memudahcarakan peralihan syarikat tersebut ke pasaran modal melalui Bursa Malaysia sama ada di Pasaran Utama, ACE atau LEAP, selain platform pembiayaan alternatif seperti Equity Crowdfunding (ECF) dan pembiayaan Peer-to-Peer (P2P).
Selain perkongsian data, MoU tersebut turut memberi tumpuan kepada beberapa aspek kerjasama lain termasuk pemantauan bersama entiti bagi mencegah penipuan kewangan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Kedua-dua pihak juga akan memanfaatkan data kewangan untuk memantau kemajuan syarikat dalam mengamalkan pendedahan kemampanan, selain melaksanakan program perkongsian pengetahuan dan latihan bersama dalam bidang analitik data, pelaporan kemampanan, penjanaan wawasan pasaran serta komunikasi strategik.
Menurut Mohammad Faiz, data memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada keterangkuman dalam pasaran modal.
“Kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan SC untuk memperkukuh kecerdasan pasaran serta meningkatkan saluran MSME yang berpotensi untuk mengakses pasaran modal.
“Dengan memanfaatkan data MSME yang lebih terperinci, inisiatif ini akan membantu mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan serta keperluan pembiayaan dan menghubungkan mereka dengan saluran pembiayaan pasaran modal yang sesuai,” katanya.
Beliau menambah bahawa ketelusan data yang lebih luas juga mampu memperkukuh keupayaan penguatkuasaan melalui pengesanan awal aktiviti penipuan sekali gus meningkatkan perlindungan pelabur.
Sementara itu, Nor Azimah berkata MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama antara SSM dan SC melalui penggunaan strategik data korporat.
“Dengan memanfaatkan maklumat korporat komprehensif yang dimiliki SSM, inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan mengenal pasti MSME dan syarikat pertengahan berpotensi tinggi serta membantu mereka mendapatkan pembiayaan pasaran modal yang sesuai bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan kelestarian jangka panjang,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama yang lebih rapat antara kedua-dua agensi itu juga akan memperkukuh pengawasan kawal selia serta kecerdasan pasaran di samping menyokong usaha lebih luas untuk meningkatkan tadbir urus korporat dan amalan kemampanan dalam kalangan syarikat di Malaysia.
Dalam masa sama, kedua-dua pihak akan mewujudkan mekanisme perkongsian data secara timbal balik bagi meningkatkan keupayaan pemantauan pasaran.
Langkah itu turut menyokong pelaksanaan National Sustainability Reporting Framework (NSRF) khususnya dalam menjejak tahap pendedahan kewangan oleh entiti yang tidak tersenarai.








