Sunway yakin mampu jayakan pengambilalihan IJM meskipun tanpa sokongan GLIC - Jeffrey Cheah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway yakin mampu jayakan pengambilalihan IJM meskipun tanpa sokongan GLIC - Jeffrey Cheah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 April - Sunway Group kekal optimis mampu menjayakan tawaran pengambilalihan IJM Corp Bhd walaupun tanpa sokongan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kata Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

 

Pengasas dan Pengerusi kumpulan Sunway itu menegaskan, syarikatnya masih berada pada landasan yang tepat untuk menjayakan tawaran pengambilalihan itu menjelang tamat tarikh tawaran pada 6 April ini.

 

“Kami masih dalam persaingan kerana perlumbaan belum berakhir. Keajaiban masih boleh berlaku. Jadi, dengan atau tanpa mereka [GLIC], secara teorinya kami masih boleh mencapai 50% tambah satu,” kata Cheah lapor The Star.

 

 

 

 

 

 

Setakat ini, GLIC memegang kira-kira 49% saham IJM, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pegangan 20.5%, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dengan 9.6% dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan 13.5%. 

 

Kesemua GLIC berkenaan dilaporkan menolak tawaran Sunway.

 

Cheah berkata, Sunway masih berupaya memperoleh jumlah sokongan mencukupi, walaupun ia memerlukan penerimaan daripada pemegang saham lain.

 

Beliau kekal berharap para pemegang saham akan mampu diyakinkan untuk menerima tawaran tersebut menjelang 6 April.

 

Mengulas dakwaan pengambilalihan itu akan menyebabkan kepentingan bumiputera melalui GLIC akan terpinggir, beliau berkata, KWSP akan memiliki 10% pegangan dalam Sunway sekiranya dana itu menerima tawaran berkenaan.

 

“Kami mahu berkembang bersama dan meraih manfaat bersama, kami mahu mereka menjadi sebahagian daripada Sunway baharu yang digabungkan,” katanya.

 

Mengenai potensi peluang yang lebih cerah jika komponen tunai dalam tawaran itu ditingkatkan Cheah berkata: “Bukan kami tidak boleh menawarkan lebih banyak tunai, tetapi saya fikir mereka patut kekal bersama kami dan memiliki lebih banyak saham Sunway.

 

"Dalam hal berkait GLIC mereka sebenarnya tidak diketepikan," ujarnya. 

 

Cheah menambah, tawaran 90% dalam bentuk saham baharu Sunway sebenarnya memberi peluang kepada GLIC untuk berkembang bersama syarikat yang lebih kukuh dan lebih besar.

 

 

 

 

 

 

Meskipun masih mempunyai keyakinan tinggi akan kejayaan tawaran kali ini, Cheah tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan tawaran baharu tahun depan jika tawaran kali ini gagal.

 

"Ia akan menjadi satu senario berlainan... tahun depan," katanya.

 

Pada 12 Januari lalu, Sunway mengemukakan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat pada harga RM3.15 sesaham, melibatkan gabungan 10% tunai dan selebihnya dalam bentuk saham baharu yang diterbitkan pada harga RM5.65 sesaham. - DagangNews.com