Sunway Construction menang kontrak bina pusat data hiperskala di Serendah bernilai RM1.75 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Construction menang kontrak bina pusat data hiperskala di Serendah bernilai RM1.75 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 April - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB), memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM1.75 bilion bagi pembangunan pusat data hiperskala di Bandar Serendah, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SunCon berkata SCSB telah memeterai perjanjian pembinaan dengan sebuah syarikat hyperscaler antarabangsa pada 17 April 2026.

 

Menurut syarikat itu, projek berkenaan melibatkan pembinaan struktur teras dan bangunan, infrastruktur kampus serta kerja pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

 

Kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2026 dan dijadualkan siap menjelang suku ketiga 2028.

 

“Projek ini tertakluk kepada risiko pembinaan biasa termasuk turun naik harga bahan, namun risiko tersebut boleh dikurangkan melalui pengalaman dan kepakaran SCSB,” katanya.

 

Dari segi kewangan, projek berkenaan tidak dijangka memberi kesan material serta-merta kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap penggearan bagi tahun kewangan berakhir 2026.

 

Bagaimanapun, SunCon menjangkakan projek itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan 2026 dan seterusnya, tertakluk kepada tiada keadaan luar jangka.

 

Syarikat turut memaklumkan tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan dalam projek tersebut.

 

Setakat ini, buku tempahan tertunggak SunCon berjumlah RM8.7 bilion, termasuk projek baharu yang diperoleh tahun ini sebanyak RM3.0 bilion, merangkumi kontrak pusat data berkenaan. - DagangNews.com