Sunway Berhad catat lonjakan hasil 62% kepada RM2.56 bilion bagi Q2 FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Berhad catat lonjakan hasil 62% kepada RM2.56 bilion bagi Q2 FY2025

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Sunway Berhad mencatat prestasi kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (Q2 FY2025) dengan lonjakan hasil 62.1% kepada RM2.56 bilion berbanding RM1.58 bilion pada tempoh sama tahun lalu, didorong terutama oleh segmen pembinaan.

 

Segmen pembinaan terus memacu pertumbuhan, dengan hasil melonjak 232.8% kepada RM1.27 bilion berikutan kemajuan pesat beberapa projek pusat data berskala besar.

 

Setakat ini, pesanan baharu mencecah RM3.8 bilion, sekali gus menjadikan buku pesanan tertunggak bernilai RM6.7 bilion pada 30 Jun 2025 yang memberi jaminan pendapatan kukuh bagi tahun kewangan ini.

 

Segmen pembangunan hartanah pula menyumbang RM351.4 juta hasil pada suku ini. Walaupun keuntungan lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu akibat bil pengeluaran progresif yang perlahan daripada projek baharu, Kumpulan kekal aktif dengan pelancaran Sunway Flora 2 dan unit runcit di Jernih Residence di Lembah Klang.

 

Pada Julai, Otto Place, sebuah kondominium eksekutif di Singapura, mencatat kadar jualan kukuh 91%, sekali gus mengukuhkan lagi jenama Sunway di rantau ini.

 

Segmen penjagaan kesihatan pula menambah kapasiti katil berlesen kepada 1,662 selepas pembukaan Sunway Medical Centre Damansara dan Sunway Medical Centre Ipoh. Walaupun kos permulaan memberi kesan kepada keuntungan, hospital sedia ada terus menunjukkan pertumbuhan sihat.

 

Sunway turut mengisytiharkan dividen interim pertama lebih tinggi sebanyak 4.00 sen sesaham, mencerminkan keyakinan terhadap prestasi semasa.

 

Presiden Kumpulan, Tan Sri (Dr.) Chew Chee Kin berkata, kepelbagaian perniagaan dan buku pesanan pembinaan yang sihat menjadi tonggak utama prestasi Sunway.

 

“Walaupun persekitaran ekonomi dan reformasi fiskal mencabar, Kumpulan yakin dengan daya tahan dan keupayaan pelaksanaan untuk mengemudi cabaran ini. Prestasi dijangka kekal kukuh sepanjang tahun kewangan 2025,” katanya. - DagangNews.com