Strategi MAHB berjaya letakkan KLIA sebagai lapangan terbang paling terhubung Asia Pasifik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi MAHB berjaya letakkan KLIA sebagai lapangan terbang paling terhubung Asia Pasifik

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – Strategi konsisten Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiktiraf sebagai lapangan terbang paling terhubung di Rantau Asia Pasifik.

 

Melalui laporan indeks Megahubs 2025 yang diterbitkan OAG itu, KLIA turut menerima pengiktirafan dengan berada di kedudukan ke-4 dunia.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, antara strategi utama yang dilaksanakan ialah menarik enam syarikat penerbangan baharu memasuki pasaran dan membuka 11 laluan baharu termasuk penerbangan jarak jauh.

 

 

 

 

 

 

 

“KLIA juga menunjukkan momentum yang kukuh dengan meningkatkan kehadiran syarikat penerbangan China dua kali ganda berbanding sebelum pandemik.

 

“Langkah ini diperkukuh dengan usaha meningkatkan kapasiti terminal serta kelancaran proses transit penumpang melalui pengurangan masa minimum sambungan (MCT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

OAG, sebuah platform data penerbangan global yang  berpangkalan di United Kingdom menerbitkan laporan tahunan yang memasuki edisi ke-10 baru-baru ini.

 

Laporan itu menilai tahap keterhubungan global lapangan terbang dan kali ini menonjolkan kekuatan Asia Pasifik dengan tiga hab utama tersenarai dalam kelompok 10 terbaik dunia.

 

Selain KLIA, dua lagi yang tersenarai ialah Lapangan Terbang Incheon, Seoul (kedudukan ke-6) dan Lapangan Terbang Haneda, Tokyo (ke-9).

 

ARTIKEL BERKAITAN KLIA diiktiraf hab penerbangan paling bersambung di Asia Pasifik, tempat ke-4 dunia, menurut Laporan OAG Megahubs 2025

 

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata,  MAHB juga memberi penekanan kepada pengalaman pelanggan dengan memperkenalkan banyak kemudahan mesra keluarga untuk memastikan keselesaan mereka sepanjang berada di KLIA.

 

“MAHB telah memperbaharui pameran budaya di terminal serta menguji sistem pengurusan akses kenderaan (VAMS) bagi melancarkan aliran trafik di kawasan pintu masuk lapangan terbang.

 

“Hasilnya, setakat Ogos 2025, KLIA merekodkan 41 juta penumpang, meningkat 9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

“Ini membuktikan strategi pengembangan kapasiti dan fokus kepada kecemerlangan perkhidmatan berjaya mengangkat KLIA ke tahap lebih tinggi,” katanya.

 

Tambahnya, MAHB komited mahu memastikan KLIA bukan sahaja menjadi kebanggaan negara tetapi juga hab penerbangan yang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta kedudukan Malaysia dalam peta global.

 

 

 

 

 

 

 

“Pengiktirafan ini hadir pada masa yang tepat ketika kita bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026. 

 

“Fokus kami kekal pada mengembangkan operasi, kesalinghubungan membina kapasiti dan memberi pengalaman yang menggembirakan sepanjang perjalanan penumpang,” katanya.- DagangNews.com