KUALA LUMPUR 24 Feb — Steel Hawk Berhad telah melantik Afizul Md Yusoff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan syarikat pelaburan ternama tersebut yang berkuat kuasa dengan serta-merta.
Menurut maklumat yang difailkan firma berkenaan kepada Bursa Malaysia, beliau berpengalaman luas lebih 20 tahun dalam bidang industri kewangan di seluruh Malaysia dan pasaran antarabangsa.
Afizul, 47, merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA), setelah lulus daripada Universiti Liverpool John Moores dengan Ijazah Sarjana Muda dalam Perakaunan dan Kewangan (Kepujian).
Beliau sebelum itu menyertai Edotco Malaysia Sdn Bhd pada Ogos 2013 dengan bermula jawatannya sebagai pengurus kewangan kanan dan berkhidmat di syarikat berkenaan selama 11 tahun.
Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Kecemerlangan Perkhidmatan (2019-2021), Ketua Penciptaan Nilai dan Projek Khas (2021–2022) dan Pengurus Besar di Yiked Bina, anak syarikat milik majoriti Edotco (2022-2023).
Peranan terakhir beliau sebelum ini ialah sebagai Pakar Kanan dalam Pembangunan Perniagaan untuk Perniagaan Binaan dan Gentian (2024-2025).
Pelantikan Afizul dibuat susulan penyusunan semula dalaman Steel Hawk untuk mengembangkan pasukan pengurusan utamanya, dengan penempatan semula individu berkuat kuasa 24 Februari.
Dalam makluman berasingan, Khairul Nazri Kamarudin dilantik semula daripada Ketua Pegawai Operasi (COO) kepada Pengarah Urusan Steel Hawk Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Steel Hawk.
Subsidiari berkenaan juga merupakan kontraktor panel untuk kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian Petroliam Nasional Berhad. Kekosongan tempat beliau digantikan oleh Alias Anuar. - DagangNews.com








