KUALA LUMPUR 9 Jun – Prospek jangka pendek Steel Hawk Berhad berdepan tekanan apabila kontrak bernilai lebih RM134 juta digugurkan daripada buku tempahannya, menurut analisis TA Securities.
Perkembangan tersebut susulan kemerosotan hubungan komersial dengan rakan kerjasama, sekali gus mendorong firma berkenaan menurunkan unjuran pendapatan dan harga sasaran (TP) saham syarikat itu.
Ujarnya, ia melibatkan kontrak Integrated Building and Structural Engineering (IBSE) yang bernilai RM92.7 juta diperoleh pada suku keempat FY25 serta kontrak tambahan RM41.3 juta pada Januari 2026.
"Susulan perkembangan itu, Steel Hawk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut RM14.4 juta yang merangkumi kos ditanggung serta hak keuntungan di bawah perjanjian," kata TA Securities lagi.
Justeru ujarnya, selepas diambil kira kontrak yang dipertikaikan itu, baki buku tempahan semasa kumpulan itu ketika ini hanya berjumlah RM106 juta, antaranya RM30 juta kerja berkaitan PETRONAS.
Baki RM76 juta lagi merupakan kontrak bukan minyak dan gas (O&G), dan syarikat berkenaan dijangka mengiktiraf kira-kira RM45 juta daripada buku tempahan sedia ada dalam tempoh suku tahun berikut.
Pemulihan prestasi kewangan kata TA Securities, namun dijangka lebih tertumpu pada separuh kedua FY26 berikutan aktiviti penyelenggaraan yang kelazimannya lebih rancak sepanjang tempoh tersebut.
"Pengurusan Steel Hawk menjelaskan prestasi lebih lemah pada suku pertama FY26 berpunca faktor bermusim dan ketiadaan sumbangan projek besar direkodkan pada tempoh sama tahun lalu," ujarnya.

Walaupun berdepan cabaran, kumpulan itu masih ada peluang tender mencecah RM529 juta, terdiri daripada tender berkaitan PETRONAS sebanyak RM165.7 juta dan sektor bukan O&G pula RM363.3 juta.
Potensi luas itu jelas TA Securities, turut merangkumi pelbagai projek pusat data (DC), utiliti, naik taraf infrastruktur serta kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) yang berkaitan tenaga solar.
Peluang berkenaan tambah firma penyelidikan tersebut, termasuk banyak projek awam daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri.
"Usaha perluasan pendedahan kepada sektor bukan O&G menunjukkan komitmen Steel Hawk mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap industri O&G sebagai sumber pendapatan utama," katanya.
TA Securities namun mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mengurangkan andaian penambahan kontrak baharu bukan O&G kepada RM100 juta setahun berbanding sebanyak RM120 juta sebelum ini.
Sehubungan itu, unjuran hasil FY27 hingga FY28 diturunkan antara 38.5% hingga 44.2%, selain TP saham Steel Hawk kepada 21 sen daripada 23 sen sambil mengekalkan saranan 'pegang'. - DagangNews.com








