ST Rosyam Mart diiktiraf Asia Records sebagai pasar raya borong 24 jam paling pesat berkembang 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ST Rosyam Mart diiktiraf Asia Records sebagai pasar raya borong 24 jam paling pesat berkembang 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 April – ST Rosyam Mart diiktiraf sebagai rangkaian pasar raya borong 24 jam yang paling pesat berkembang pada tahun 2025 oleh Asia Records, menjadikannya penerima rekod pertama bagi kategori tersebut.

 

Pengiktirafan itu adalah satu lagi pencapaian penting bagi jenama yang semakin menonjol dalam industri runcit borong di Malaysia.

 

Asia Records, sebuah badan yang mengiktiraf pencapaian dan kejayaan luar biasa syarikat di peringat Asia dan pengiktirafan itu menetapkan standard baru dari segi kemudahan, aksesibiliti dan nilai kepada pelanggan. 

 

Bagi ST Rosyam Mart, anugerah ini memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Sri Ternak Group, Datuk Raymond Ho berkata pengiktirafan ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan kemudahan dan nilai tambah kepada pelanggan. 

 

“Usaha ini adalah hasil dedikasi seluruh pasukan syarikat dan pastinya kami akan terus memperluas dan menambah baik perkhidmatan bagi memenuhi permintaan pasaran yang sentiasa berubah, membantu pelanggan dan perniagaan menjimatkan masa, wang dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

 

T

 

Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart Datuk Rosyam Nor pula berkata pengiktirafan ini adalah satu titik penting yang membuktikan kepercayaan pelanggan dan sokongan rakan kongsinya selama ini. 

 

“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa usaha pekerja yang gigih. Kami tetap komited untuk memberikan nilai, harga yang mampu milik serta memudahkan rakyat Malaysia untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan mereka,” katanya.

 

Sehingga 2026, ST Rosyam Mart mengendalikan 9 cawangan, terutamanya di Lembah Klang dan Negeri Sembilan. Ia menawarkan pengalaman membeli-belah 24 jam pada harga borong, termasuk barangan segar, daging dan makanan laut, barangan runcit dan keperluan rumah.

 

Cawangan terbaharu ialah di Jakel Square, Kuala Lumpur yang memperkenalkan konsep Malaysia Selection yang dipilih khas untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah di bawah satu bumbung. Konsep ini menampilkan pelbagai produk tempatan yang berkualiti tinggi.

 

Selain itu, setiap cawangan menyediakan lebih 20 perkhidmatan percuma seperti pinjaman power bank, air minum, khidmat memotong daging, pinjaman payung, bantuan bateri kereta dan pam tayar, bagi menambah keselesaan pelanggan semasa membeli-belah.

 

T

 

Sri Ternak Group, syarikat induk ST Rosyam Mart, telah beroperasi selama 47 tahun dan berkembang daripada perniagaan pertanian menjadi pengendali rantaian pasar borong 24 jam. Ia kini mengendalikan 10 cawangan termasuk Sri Ternak, ST Rosyam Mart dan ST Rosyam Mall, dengan rancangan melebarkan 56 Ehsan Mart di seluruh negara.

 

Syarikat ini menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 pekerja dan disokong oleh kemudahan pemprosesan dalaman untuk memastikan kualiti produk terjamin dan operasi berjalan lancar.

 

Sejak dilancarkan pada 2018 dengan kerjasama Datuk Rosyam Nor, ST Rosyam Mart terus menumpukan kepada produk berkualiti pada harga borong dan memperkenalkan konsep mall moden untuk memenuhi keperluan pelanggan dari semua peringkat umur.

 

Dengan motto “Berbelanja di ST Rosyam Mart, Dompet Abang Selamat!”, jenama ini menegaskan komitmennya untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang selesa, mudah diakses dan berpatutan sepanjang masa. - DagangNews.com