KUALA LUMPUR 9 Okt - SRKK AI Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan teknologi maklumat, merancang mengumpul dana bagi membiayai pengembangan perniagaannya ke bidang kecerdasan buatan (AI) serta disenaraikan di Pasaran ACE.
Menurut draf prospektusnya, rancangan tersebut melibatkan penubuhan sebuah makmal bagi tujuan ujian produk dan perkhidmatan, selain menubuhkan sebuah akademi yang menawarkan kursus berkaitan AI.
Syarikat itu juga berhasrat membangunkan rumusan analitik data dan kecerdasan perniagaan (business intelligence) yang dilengkapi dengan keupayaan AI.
“… kami menyedari keperluan dalam kalangan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan untuk memahami bagaimana aktiviti operasi mereka boleh dimodenkan melalui rumusan sedemikian,” kata SRKK AI. “Oleh itu, kami berhasrat untuk merebut peluang ini dengan menawarkan perkhidmatan nasihat dan perundingan IT.”
Berpangkalan di Klang, SRKK menyediakan perkhidmatan juruperunding, pelaksanaan projek dan perkhidmatan terurus kepada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan, pengedar semula (reseller) serta penyedia perkhidmatan lain di Malaysia dan Singapura.
Pada tahun lalu, syarikat itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM5.8 juta dengan hasil RM94.5 juta. Kira-kira separuh daripada hasil tersebut diperoleh daripada pendapatan berulang seperti yuran langganan perkhidmatan awan, yuran kontrak perkhidmatan serta sewaan perkakasan dan perisian.
Selain itu, syarikat merancang menubuhkan pejabat nasihat dan perundingan di Indonesia serta membangunkan sebuah pusat operasi keselamatan (Security Operations Centre) bagi memantau, menganalisis dan melindungi rangkaian daripada ancaman serta serangan siber.
Bagi menyokong rancangan pengembangan tersebut, syarikat akan menambah lebih 60 kakitangan baharu serta memperuntukkan sebahagian hasil penyenaraian awam awal (IPO) bagi tujuan penjenamaan, pemasaran dan promosi.
Sementara itu, penyenaraian IPO tersebut turut melibatkan kumpulan 15 pemegang saham, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Yew Lip Sin, yang akan menjual sebahagian kecil pegangan mereka dalam SRKK melalui penjualan saham sedia ada oleh Joel Resources Sdn Bhd dan Five Loaves Sdn Bhd.
TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








