SPRM siasat kerugian pelaburan RM200 juta KWAP dalam skandal eFishery Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM siasat kerugian pelaburan RM200 juta KWAP dalam skandal eFishery Indonesia

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan terhadap kerugian pelaburan kira-kira RM200 juta yang ditanggung Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, sekali gus meningkatkan perhatian terhadap salah satu skandal korporat terbesar yang melibatkan dana persaraan Malaysia.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pasukan siasatan khas dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk semalam bagi mengkaji dan meneliti keseluruhan transaksi serta perkara berkaitan secara menyeluruh.

 

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan berlandaskan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

 

 

 

 

 

“SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan adil, telus dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Abd Halim turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan integriti proses siasatan tidak terjejas.

 

KWAP sah jadi mangsa penipuan

Perkembangan itu menyusul selepas Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan melalui jawapan bertulis di Parlimen bahawa KWAP menjadi mangsa penipuan terancang dalam pelaburan eFishery susulan manipulasi laporan kewangan yang didakwa dilakukan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan.

 

Menurut MOF, konsortium pelabur yang turut disertai KWAP telah mengambil beberapa langkah termasuk memulakan tindakan undang-undang, meneruskan usaha mendapatkan semula dana yang dilaburkan, menjalankan semakan tatakelola dalaman serta memperkukuh kawalan bagi melindungi kepentingan pelaburan pada masa hadapan.

 

Kes eFishery sebelum ini mencetuskan perhatian antarabangsa selepas syarikat pemula niaga yang pernah dianggap antara syarikat agritech paling berjaya di Indonesia itu disiasat berhubung dakwaan penyelewengan kewangan.

 

Media melaporkan siasatan terhadap eFishery melibatkan dakwaan manipulasi penyata kewangan sehingga hasil syarikat dilaporkan jauh lebih tinggi daripada angka sebenar, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap penilaian syarikat dan keyakinan pelabur.

 

Pelaburan RM200 juta

Menurut DealStreetAsia, KWAP melabur kira-kira AS$47.7 juta, bersamaan sekitar RM200 juta, dalam pusingan pembiayaan Siri D eFishery pada 2023.

 

 

 

 

 

 

Siasatan SPRM dijangka memberi tumpuan kepada semua aspek berkaitan pelaburan tersebut, termasuk proses membuat keputusan, tadbir urus serta sebarang unsur yang mungkin melibatkan kesalahan di bawah undang-undang negara.

 

Kes itu mendapat perhatian meluas kerana melibatkan dana persaraan awam, selain mencetuskan persoalan mengenai mekanisme usaha wajar, penilaian risiko dan pemantauan terhadap pelaburan luar negara oleh institusi pelaburan milik kerajaan. - DagangNews.com